
Jabatan itu memaklumkan, cawangan JKM Selangor telah memeriksa ketiga-tiga premis terbabit pagi ini bersama jabatan pendidikan negeri, susulan aduan awam mengenai dakwaan berlakunya pengabaian dan penderaan kanak-kanak.
Menurutnya, premis-premis tersebut menyediakan perkhidmatan taska dan tadika, serta perkhidmatan pemulihan dan terapi bagi kanak-kanak kurang upaya, di bawah jenama Al-Kauthar Eduqids.
“Ketiga-tiga pusat tersebut tidak berdaftar sebagai operator taska di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984. Susulan daripada penemuan tersebut, JKM Selangor akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan tindakan LAK (penutupan) ke atas ketiga-tiga pusat berkenaan.
“Premis pusat-pusat tersebut juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan, tidak kondusif dan tidak memenuhi ciri keselamatan yang sewajarnya,” kata JKM dalam kenyataan.
Jabatan itu berkata, sementara pihak polis sedang menyiasat dakwaan tersebut, pihaknya juga akan bertemu dengan pengurusan Al-Kauthar Eduqids untuk mendapatkan penjelasan.