Artikel palsu ‘sijil halal babi’, Kok buat laporan polis, SKMM

Artikel palsu ‘sijil halal babi’, Kok buat laporan polis, SKMM

Ahli Parlimen DAP mohon polis siasat semua pengguna media sosial siar artikel berbaur hasutan petik nama beliau.

fake post teresa kok
Tangkap layar artikel tular petik Teresa Kok konon kata babi perlu sijil halal. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Teresa Kok hari ini membuat laporan polis berhubung artikel palsu yang tular di media sosial memetik beliau didakwa berkata sijil halal untuk babi adalah wajar.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau bersama pembantunya membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling dan turut memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berhubung perkara itu.

Menurut laporan polis dibuat Kok, beliau telah dimaklumkan oleh rakan-rakannya menerusi WhatsApp berhubung artikel tersebut, yang dikongsikan sekurang-kurangnya 18 akaun Facebook.

“Artikel palsu dan berunsur fitnah ini telah mencemarkan nama baik saya dan menjadikan saya sebagai penghasut kaum dan agama yang menjejaskan keharmonian masyarakat,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu dalam hantaran di Facebook.

“Saya memohon pihak polis menjalankan siasatan terhadap kesemua pemilik akaun media sosial yang menyiarkan artikel yang berbaur hasutan ini dan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.