
Beliau memaklumkan sedemikian selepas membuat laporan polis berhubung tindakan termasuk penahanannya serta kira-kira 19 individu lain sebelum perhimpunan bermula.
“Saya akan memfailkan tindakan sivil terhadap kesemua pihak yang saya namakan, termasuk polis, ketua polis negara, menteri dalam negeri dan perdana menteri,” katanya di IPD Dang Wangi hari ini.
Haniff menambah, beliau turut menamakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Saifuddin kerana mendakwa berlaku campur tangan salah yang mengakibatkan himpunan itu dihentikan.
Menurut beliau, himpunan yang dijadualkan di pekarangan Kompleks Sogo itu ialah perhimpunan aman yang sah dan dilindungi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, katanya, tindakan polis menahan peserta sebelum perhimpunan bermula adalah salah di sisi undang-undang, suatu pencabulan hak kebebasan berhimpun secara aman.
Haniff berkata, beliau dan individu lain ditahan tanpa dimaklumkan kesalahan atau peruntukan undang-undang yang digunakan.
“Semasa saya ditahan, anggota polis gagal memaklumkan kepada saya kesalahan yang didakwa dilakukan oleh saya dan di bawah peruntukan undang-undang yang mana saya disiasat atau ditahan,” katanya.
Beliau berkata, selain tindakan sivil peribadi, bantuan guaman juga akan disediakan menerusi Garah kepada individu lain yang ditahan pada malam itu.
Terdahulu, polis Kuala Lumpur memaklumkan perhimpunan yang dirancang pada 7 Feb di sekitar Sogo itu tidak dibenarkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam.
Pada hari himpunan, kira-kira 20 individu termasuk penganjur dan bakal peserta himpunan ditahan bagi membantu siasatan. Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis awal keesokan harinya.
Garah sebelum ini menyatakan perhimpunan tersebut bertujuan mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap isu rumah ibadat yang didakwa didirikan tanpa kelulusan di tanah awam atau persendirian.