Adun di 5 negeri tubuh kaukus pejuang reformasi institusi

Adun di 5 negeri tubuh kaukus pejuang reformasi institusi

Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti tumpu tiga bidang utama termasuk pengawalseliaan pendanaan politik.

KDPP
Wakil rakyat PH dan PN dalam sidang media pelancaran Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP).
KUALA LUMPUR:
Wakil rakyat merentas parti politik dari lima negeri bergabung untuk menubuhkan sebuah kaukus dwipartisan bagi melaksanakan reformasi institusi dan tadbir urus yang telus di peringkat negeri.

Bersih dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) memudahkan penubuhan Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP), yang akan dipengerusikan bersama oleh Adun Beserah dari PAS, Andansura Rabu dan Adun Kota Lama dari Amanah, Dr Hafidzah Mustakim.

Lima negeri yang diwakili dalam kaukus ini ialah Johor, Selangor, Kelantan, Perak dan Pahang.

Bercakap pada pelancaran rasmi kaukus itu hari ini, Hafidzah berkata ia adalah yang pertama seumpamanya.

Beliau berkata KDPP akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama – pengawalseliaan pendanaan politik, agihan adil dan telus peruntukan pembangunan kawasan (CDF), serta pengukuhan peranan pengawasan legislatif, serta semak dan imbang di peringkat DUN.

“KDPP memberi keutamaan terhadap reformasi yang sudah lama dibincangkan di peringkat persekutuan, tetapi tidak dipedulikan di peringkat negeri,” katanya dalam satu sidang media.

Beliau berkata reformasi ini penting untuk mewujudkan demokrasi yang lebih telus, bertanggungjawab dan inklusif, terutamanya di peringkat negeri di mana keputusan memberi kesan paling langsung kepada rakyat.

Hafidzah berkata KDPP akan mendesak supaya agihan CDF dibuat secara adil kepada Adun kerajaan dan pembangkang, dan perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat kaukus yang akan datang.

Bulan lalu, kerajaan berkata ia tidak akan mempertimbangkan agihan sama rata kepada Ahli Parlimen pembangkang kecuali Perikatan Nasional mencadangkan pindaan terhadap terma dalam draf MoU yang dianggap ‘tidak adil’.

Bagi membina momentum dari akar umbi, KDPP juga akan menganjurkan tiga hingga empat bengkel di beberapa negeri dengan kerjasama IDEAS dan badan pemantau pilihan raya Bersih.

Antara ahli KDPP yang lain ialah Wong Chai Yi (PKR), Rajiv Rishyakaran (DAP) dan Amira Aisya Abd Aziz (Muda).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.