Banyak masa lagi sebelum putus tanding PRN, kata Shahelmey

Banyak masa lagi sebelum putus tanding PRN, kata Shahelmey

Beliau yang digantung keahlian Umno juga maklum tindakan undang-undang dan denda bakal dihadapinya jika tanding atas tiket GRS.

Shahelmey Yahya
Sekiranya Shahelmey Yahya dicalonkan oleh GRS dalam PRN, beliau mungkin perlu mengosongkan kerusi Parlimen di bawah undang-undang anti-lompat parti.
PETALING JAYA:
Shahelmey Yahya berkata beliau masih mempertimbangkan sama ada akan mempertahankan kerusi DUN Tanjung Keramat yang disandangnya atau terus kekal sebagai Ahli Parlimen Putatan.

Shahelmey berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki bahawa tindakan undang-undang termasuk denda RM100 juta boleh dikenakan terhadap mana-mana ahli yang bertanding pada PRN bulan depan atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sebelum pembubaran DUN yang diumumkan pada 6 Okt lepas, Shahelmey merupakan timbalan kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, yang juga pengerusi GRS.

Shahelmey menang DUN Tanjung Keramat dan Parlimen Putatan atas tiket Barisan Nasional, namun keahliannya digantung Umno selama enam tahun sejak Mac 2023, akibat menyokong pentadbiran Hajiji.

“Saya masih dalam proses mempertimbangkan arah kedudukan politik.

“Ada masa lagi, tarikh hari penamaan calon lebih kurang tiga minggu daripada sekarang, jadi masih banyak masa untuk membuat sebarang keputusan,” katanya yang dipetik Sinar Harian sebagai berkata.

“Apa yang penting ialah keputusan yang dibuat nanti adalah untuk kebaikan.”

Sekiranya Shahelmey dicalonkan oleh GRS dalam PRN, beliau mungkin perlu mengosongkan kerusi Parlimen di bawah undang-undang anti-lompat parti, memandangkan beliau dipilih sebagai Adun Tanjung Keramat pada 2020 atas tiket BN.

Shahelmey sebelum ini beritahu FMT bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk bertanding pada PRN tersebut, namun ia bergantung kepada rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan GRS.

Pada 11 Okt, Hajiji turut mendedahkan bahawa Shahelmey dan Andi Muhammad Suryady Bandy, yang turut digantung oleh Umno, menyatakan minat untuk mewakili gabungan itu atau bertanding di bawah tiketnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.