
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata perkara itu dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini.
Beliau berkata tembok keselamatan itu akan dibina di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga ke Tanah Merah.
“Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara (Shamsul Azri Abu Bakar) bersama pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) ada melakukan lawatan ke sempadan negara.
“Perkara ini (pembinaan tembok keselamatan) ada dibincangkan dengan KSN bersama MKN sebagai peruntukan tambahan dan ia dalam proses (sebut harga/tender),” katanya pada sidang media di IPK Kelantan.
Yusoff berkata tembok keselamatan yang akan dibina itu bukan sahaja berperanan mengekang kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan tetapi juga berfungsi sebagai benteng banjir.
Pada Ahad lepas, Bernama melaporkan penduduk Rantau Panjang berharap tembok ‘dua dalam satu’ itu bukan sahaja menjadi benteng bagi melindungi sempadan negara daripada dibolosi tetapi juga mampu menahan limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh yang mengancam rumah penduduk dan perniagaan di kawasan terbabit.
Pada 13 Okt lepas, Yusoff dilaporkan berkata pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas kini bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan strategik untuk mengekang penyeludupan, sekali gus mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan-Thailand.
Beliau dilaporkan berkata hal ini kerana bentuk geografi Sungai Golok yang sempit dan airnya cetek menyebabkan kawalan keselamatan sukar dilaksanakan secara konvensional, meskipun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan, dron atau kamera litar tertutup.