Bersatu mohon speaker Dewan Rakyat isytihar Labuan kosong

Bersatu mohon speaker Dewan Rakyat isytihar Labuan kosong

Alasan Speaker Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi tersebut sebelum ini tidak lagi terpakai susulan keputusan mahkamah.

 

Kiandee and Suhaili Abdul Rahman
Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee (kiri), mohon speaker Dewan Rakyat kosongkan kerusi Labuan selepas mahkamah batal saman Ahli Parlimen Suhaili Abdul Rahman.
PETALING JAYA:
Bersatu mohon speaker Dewan Rakyat mengisytiharkan kerusi Labuan kosong selepas mahkamah membatalkan saman penyandang, Suhaili Abdul Rahman.

Ketua Whip Bersatu, Ronald Kiandee, berkata alasan Speaker Johari Abdul untuk tidak mengosongkan kerusi tersebut sebelum ini sudah tidak lagi relevan dan terpakai.

Perkara itu dinyatakan dalam surat Kiandee kepada Johari hari ini, menuntut pengisytiharan kekosongan bagi P.166 susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan writ saman dan penyata tuntutan Suhaili terhadap Bersatu, pada 15 Apr lalu.

“Speaker tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan dengan membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi P.166 Parlimen Labuan untuk membolehkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya membuat ketetapan untuk suatu pilihan raya kecil diadakan segera,” menurut kenyataan.

Pada 11 Julai tahun lalu, Johari dilapor memaklumkan dalam surat kepada Kiandee, bahawa beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak sedang berbicara dalam kes mahkamah susulan Suhaili menyaman Bersatu.

Suhaili memfailkan saman pada 1 Julai tahun lalu, memohon mahkamah mengisytiharkan pemecatannya daripada Bersatu tahun lalu tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Hakim bagaimanapun berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan berhubung perkara itu disebabkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang menyatakan keputusan parti politik adalah muktamad dan konklusif.

Suhaili mewakili rakyat Labuan pada 1999-2004 dan 2004-2008 ketika bersama Barisan Nasional, dan menawan Labuan pada PRU 2022 untuk Perikatan Nasional.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.