
Mohamad Yusri Bakir (Barisan Nasional), Abd Muhaimin Malek (Perikatan Nasional) dan KS Bawani (Parti Sosialis Malaysia) bertembung ketika meninjau pusat mengundi itu kira-kira 9.20 pagi tadi.
Mereka kemudian bersalaman dan bergambar bersama.
Yusri menyifatkan pertembungan itu perkara biasa.
“Saya tiada masalah untuk bertembung dengan mana-mana pihak kerana kita mengamalkan politik matang,” katanya.
Terdahulu, Bawani selesai mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pheng Lok sekitar 8 pagi.
Muhaimin yang tiba di SK Ayer Kuning bersama isteri serta ibu bapanya 8 pagi tadi, selesai mengundi kira-kira 20 minit kemudian.
Yusri pula tiba di SK Sungai Lesong kira-kira 8.45 pagi untuk mengundi.
Sebanyak 18 pusat mengundi dibuka hingga 6 petang ini, kecuali pusat pengundian di SK Toh Tandewa Sakti akan ditutup lebih awal pada 4 petang.
Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi bagi memilih wakil rakyat baharu, selepas 93.4% daripada 500 anggota polis bersama pasangan menunaikan tanggungjawab pada proses pengundian awal Selasa lalu.
Penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Merdeka dan keputusan rasmi dijangka diketahui seawal 9 malam ini.
PRK Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lalu akibat serangan jantung.