PN gagal bergantung pada PAS, isu Melayu, kata penganalisis

PN gagal bergantung pada PAS, isu Melayu, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata strategi PN kurang berkesan kepada pengundi Melayu sederhana dan demografi pelbagai etnik di Ayer Kuning.

Muhaimin Malek
Calon Perikatan Nasional Abd Muhaimin Malek mendapat 6,059 undi dalam PRK Ayer Kuning yang dimenangi Barisan Nasional semalam. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik berpendapat, terlalu bergantung kepada PAS dan retorik memperjuangkan isu Melayu mungkin menyumbang kepada kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada PRK Ayer Kuning semalam.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, strategi PN kurang berkesan kepada pengundi Melayu sederhana dan demografi pelbagai etnik di Ayer Kuning.

Menurutnya, PN banyak berkempen menggunakan isu nasional, seperti kos sara hidup, inflasi dan sentimen Melayu-Islam, tetapi gagal memenangi hati pengundi berbilang kaum serta sederhana yang menyokong Pakatan Harapan sebelum ini.

“PN juga mungkin percaya mereka boleh mendapat sokongan pengundi PH dengan sentimen anti-Barisan Nasional (BN). Tetapi, ini jelas tidak berlaku,” katanya kepada FMT.

Calon BN, Mohamad Yusri Bakir memenangi PRK itu dengan majoriti 5,006 undi, lebih dua kali ganda daripada majoriti 2,213 undi yang diperoleh BN pada PRU 2022.

Calon PN, Abd Muhaimin Malek daripada PAS meraih 6,059 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia, KS Bawani hanya mendapat 1,106 undi.

Peratusan keluar mengundi PRK Ayer Kuning ialah 58.07%.

Kerjasama BN-PH berhasil

Azman berkata, pakatan BN-PH nampaknya membuahkan hasil walaupun pengundi menyokong mereka atas faktor strategik, bukannya kesetiaan.

Katanya, pengundi bandar dan muda yang secara tradisinya penyokong PH, sanggup menyokong BN bagi menafikan kemenangan PN.

“Ia menunjukkan kerjasama BN-PH boleh berjaya, jika pengundi mereka mempunyai musuh bersama. Dalam kes ini, musuh itu ialah PN. Tetapi, tidak pasti jika pakatan ini dapat dikekalkan untuk jangka panjang. BN perlu memodenkan diri untuk menarik pengundi muda yang cenderung kepada PH.”

Pengundi BN-PH

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, majoriti lebih besar diraih BN menunjukkan kerjasama dua gabungan itu berhasil di Perak, yang secara berkesan menolak dakwaan PN bahawa pakatan itu tidak berfungsi dengan baik.

Namun, corak pengundian menunjukkan ramai penyokong BN-PH mungkin bersikap berkecuali.

Menurutnya, pengundi PN nampaknya keluar mengundi beramai-ramai kerana ia hanya kalah kira-kira 800 undi berbanding PRU 2022, walaupun peratusan keluar mengundi turun daripada 74% kepada 58%.

Azmi berkata, peratusan keluar mengundi untuk PN sangat baik berbanding pengundi PH dan BN, yang kebanyakannya tidak mengundi. “Mungkin mereka percaya calon mereka akan menang (PRK).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.