
Beliau berkata, hakikatnya hanya satu pusat daerah mengundi (PDM) menunjukkan kekurangan 88 undi, manakala PDM lain berjaya dirampas sepenuhnya oleh BN.
“Kita juga lihat peningkatan sokongan daripada pengundi Melayu, Cina, India serta Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Dataran Awam Kampung Jerek.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, kadar keluar mengundi yang rendah, iaitu sekitar 58%, adalah disebabkan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang masih berlangsung serta perayaan Cheng Beng dalam kalangan masyarakat Cina.
“Mungkin ramai yang baru pulang ke rumah keluarga masing-masing dan tidak sempat balik untuk mengundi,” katanya.
“Yang paling penting, kita bukan sahaja mempertahankan kerusi tersebut malah dapat jumlah undi lebih dua kali ganda.”
Zahid turut menyatakan rasa syukur atas kejayaan itu dan memuji gerak kerja jentera parti pada semua peringkat yang sangat berkesan dalam menyantuni para pengundi.
“Pelbagai pendekatan telah dilakukan, yang penting setiap pengundi mesti disantuni dengan kaedah tertentu,” katanya.
“Alhamdulillah, kejayaan di DUN Nenggiri, DUN Mahkota dan sebelum itu di DUN Pelangai memperlihatkan hasil kerja keras semua jentera kepimpinan negeri, bahagian dan jentera dari seluruh negara.”
BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning selepas calonnya, Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti lebih besar.
Beliau menang dengan majoriti 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi keseluruhan dalam saingan tiga penjuru, menewaskan wakil Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek dan Bawani KS daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).