
Beliau merujuk kepada PDM Kampung Coldstream, yang mempunyai 1,700 pengundi dengan hanya melibatkan empat sahaja pemilih Melayu.
“Sebelum ini lapan pilihan raya kita tidak pernah menang di PDM berkenaan, namun PRK (Ayer Kuning) kali ini kita menang di PDM berkenaan.
“Jadi apa yang kita nak cakap, kerajaan perpaduan ini adalah kerajaan baharu dan sudah tentu ramai syak wasangka. Namun, tugas kita adalah menunjukkan kepada masyarakat apa sahaja perbezaan politik, paling penting negara kita stabil,” katanya menurut Berita Harian di Kota Bharu.
Johari yang juga menteri perladangan dan komoditi, berkata rakyat kini sedar bahawa fokus utama kerajaan perpaduan dibarisi BN dan Pakatan Harapan (PH) adalah memastikan kestabilan negara.
Katanya, kemenangan di Ayer Kuning menunjukkan apa sahaja yang diperkatakan umum tentang kerajaan hari ini, tidak sedikit pun mengurangkan keyakinan rakyat mengundi calon dipertaruhkan kerajaan perpaduan.
BN mempertahankan Ayer Kuning selepas calonnya, Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti lebih besar.
Beliau menang dengan majoriti 5,006 undi selepas mendapat 11,065 undi.