Pengundi pilih BN kerana muafakat, tapi PAS belum ‘move on’ dari DAP

Pengundi pilih BN kerana muafakat, tapi PAS belum ‘move on’ dari DAP

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin, kata PAS akan memangsakan Umno dan DAP kerana itu sahaja kemampuan pemikiran mereka.

YUSRI BAKIR PRK
Naib Presiden Umno Khaled Nordin kata pengundi Ayer Kuning mahukan politik muafakat yang progresif.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mengingatkan PAS bahawa pengundi Ayer Kuning memilih Barisan Nasional kerana mahukan politik muafakat yang progresif dan kerajaan yang bertanggungjawab.

Katanya, rakyat Ayer Kuning pada PRK lalu mengundi politik yang rasional dan berhikmah, namun PAS apabila kalah akan memangsakan Umno dan DAP.

“Setakat itu sahaja kemampuan pemikiran mereka,” kata Naib Presiden Khaled Nordin.

Semalam, menerusi artikel minda presiden PAS, Hadi Awang melabel kemenangan calon BN, Yusri Bakir, sebagai kejayaan Umno menubuhkan ‘UmDAP’ iaitu gabungan Umno dan DAP.

Ahli Parlimen Marang itu dakwa ‘UmDAP’ mempersuci DAP.

Khaled bagaimanapun berkata PAS beberapa kali ‘mensucikan DAP’ melalui beberapa kerjasama sebelum ini, seperti Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

“Masa itu semuanya halal dan diharuskan,” katanya.

“PAS sepertinya tidak boleh ‘move on’ setelah berpisah dengan DAP.”

Khaled berkata dalam lanskap politik sekarang, Umno sedia meneroka kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan ia tidak merugikan bangsa Melayu dan Islam.

Umno juga tidak mahu menafikan hak masyarakat majmuk yang lain, atau merencatkan cita-cita menjadikan Malaysia negara terbaik.

“Pengundi Ayer Kuning memilih BN untuk mewakili kepentingan politik mereka,” katanya.

“Mereka jelas mahukan Malaysia yang pertengahan, politik muafakat yang progresif dan Kerajaan yang bertanggungjawab.”

Khaled berkata kemenangan pada PRK Ayer Kuning bukan sekadar kejayaan politik untuk Umno, tetapi juga kejayaan moral untuk BN menjadi lebih baik, susulan ‘pelbagai kelemahan lepas’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.