
Katanya lagi, Barisan Nasional gagal capai sasaran raih 18,000 undi walaupun ia berjaya mempertahankan DUN Ayer Kuning.
“Hakikatnya, Perikatan Nasional kekal teguh dengan undi teras sekitar 5,000 hingga 6,000 pengundi,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
PN kali ini meraih 6,059 undi berbanding 6,812 undi yang diperoleh pada PRU 2022. BN pula meraih 11,065 undi berbanding 9,088 undi pada PRU 2022.
Majoriti 5,006 undi kali ini mengatasi 2,213 undi pada PRU 2022, namun peratusan keluar mengundi kali ini hanya 58.07%, berbanding 74.85% pada PRU 2022.
Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih kali ini.
PRK ini juga menyaksikan BN mempertahankan Ayer Kuning dengan sokongan Pakatan Harapan, yang pada PRU 2022 raih 6,875 undi.
“PRK ini juga membuktikan bahawa tiada perpindahan undi daripada penyokong PH kepada BN dengan jumlah yang besar,” menurut Pemuda PAS.
Katanya lagi, kemerosotan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina memperlihatkan pengundi teras PH tidak bersedia untuk mengalihkan sokongan kepada BN.
Terdahulu, Pengerusi BN Perak Saarani Mohamad menjelaskan sasaran raih sekurang-kurangnya 18,000 undi itu berdasarkan peratusan keluar mengundi 75% daripada hampir 32,000 pengundi.