
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata Rabu lalu mangsa wanita berusia 46 tahun melihat iklan penjualan harumanis menerusi media sosial.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan itu menghubungi suspek melalui WhatsApp dan diminta memuat turun satu aplikasi bagi membuat tempahan buah berkenaan.
“Setelah mengisi semua maklumat diri, mangsa telah menerima kod respons pantas (QR) bagi tempahan itu dan diminta untuk menghantarkan kepada suspek.
“Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui panggilan telefon menyebabkan telefon bimbitnya terpadam dengan tiba-tiba sebelum aktif semula beberapa minit selepas itu,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Azli berkata keesokan hari mangsa mendapati wang simpanannya sebanyak RM9,998.51 dalam akaun Tabung Haji (TH) lesap.
Selepas disemak, mangsa mendapati berlaku dua transaksi wang dari akaun TH ke akaun bank miliknya sebelum dipindahkan ke satu akaun bank lain yang tidak dikenali.
“Mangsa membuat laporan pada 6.35 pagi Khamis. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.