2 mayat membusuk dalam rumah disyaki dibunuh

2 mayat membusuk dalam rumah disyaki dibunuh

Ibu saudara dan anak saudara meninggal dunia akibat sesak nafas.

Naazron Abdul Yusof
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata siasatan ke atas rumah mangsa tidak menjumpai kesan atau barang digeledah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Mayat dua bersaudara ditemukan membusuk dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Semenyih.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof, berkata wanita dan anak saudara lelaki masing-masing 53 dan 25 tahun disyaki maut akibat sesak nafas.

Katanya, penemuan mayat susulan laporan seorang lelaki semalam yang menghidu bau busuk mencurigakan dari kediaman kakaknya, selepas 10 hari tidak kelihatan.

“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijalankan hari ini dan punca kematian adalah sesak nafas.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya menurut kenyataan.

Beliau berkata, siasatan ke atas rumah mangsa tidak menjumpai sebarang kesan atau barang digeledah dengan keadaan berkunci dari dalam.

“Tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini, namun keterangan ahli keluarga dan saksi akan direkodkan bagi membantu siasatan,” katanya.

Orang ramai mempunyai sebarang maklumat mengenai kes boleh menghubungi mana-mana balai terdekat atau pegawai penyiasat Umesh Ratnam Kumar di talian 012-6114900.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.