
Jumlah itu meningkat 3.7% berbanding 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang pada tahun sebelumnya.
Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata keputusan SPM tahun lalu itu juga mencatatkan pencapaian terbaik sejak 2013 dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.49, berbanding 4.60 pada 2023.
Menurutnya, bilangan calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024, turut menunjukkan peningkatan, iaitu seramai 86,040 calon, berbanding 83,112 calon pada 2023.
“Calon memperoleh keputusan lulus sekurang-kurangnya gred E juga meningkat kepada 136,791 calon berbanding 131,489 (2023).
“Pencapaian calon bandar dan luar bandar menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 4.47 bandar dan 4.92 luar bandar dengan perbezaan jurang 0.45 mata,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Tak layak dapat sijil meningkat
Sementara itu, jumlah calon SPM tidak layak mendapat sijil meningkat kepada 1,789 atau 0.5%, berbanding 1,467 pada 2023 kerana gagal semua mata pelajaran, termasuk bahasa Melayu dan sejarah.
“Daripada analisis kita lihat berlaku peningkatan calon SPM yang dapat G (Gagal) untuk semua mata pelajaran diduduki berbanding SPM 2023.
“Kita akan buat analisis ‘postmortem’ (bedah siasat) dan dari situ akan kenal pasti faktor signifikan yang menyebabkan kegagalan calon berkenaan,” katanya memetik Berita Harian.