
Saksi pendakwaan ke-28 Mohd Hafizee Ismail, 38, yang kini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan memberitahu Mahkamah Sesyen perkara itu pada hari ke-18 perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan, iaitu Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari.
“(Darah) dalam bilik air (milik) B1 (Zaim Ikhwan Zahari), (darah) dalam bilik (milik) si mati (Zayn Rayyan),” katanya menjawab pertanyaan Hakim Syahliza Warnoh tentang siapa pemilik darah yang ditemukan, lapor Berita Harian.
Mohd Hafizee yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di IPD Petaling Jaya berkata, perkara ini diketahui berdasarkan laporan ujian DNA oleh Jabatan Kimia Malaysia.
“Keputusan laporan kimia dikeluarkan Nor Aidora Saedon (mendapati) darah si mati berpadanan dengan spesimen tulang sternum berlabel Zayn Rayyan,” katanya.
Semalam dilaporkan Mohd Hafizee memberi keterangan bahawa pasukan forensik yang menjalankan ujian luminol mendapati ada kesan darah di dalam bilik dan bilik air di rumah Zayn Rayyan, yang terletak Di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Beliau sebelum ini berkata, DNA atau darah yang ditemukan dalam bilik air itu milik Zaim Ikhwan, menurut laporan kimia.
Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, sama ada siasatan lain dibuat terhadap pengasuh si mati, Auni Afiqah Abas, mengenai dakwaan beliau mendengar suara seperti Zayn Rayyan seolah-olah cuba melepaskan diri, Mohd Hafizee berkata, Auni gagal mengesan suara itu milik mangsa.
“Auni mengatakan ada mendengar suara pada sebelah petang seperti suara (Zayn Rayyan) di tengah-tengah Blok R dan Blok S.
“Saya ambil tindakan bawa Auni ke lokasi kejadian dan menunjukkan lokasi yang dikatakan mendengar suara (Zayn Rayyan) seperti cuba melepaskan diri di kawasan berkenaan.
“Hasil siasatan saya dapati Auni gagal mengesahkan suara itu suara (Zayn Rayyan),” katanya.
Selain itu, Raja Zaizul Faridah turut bertanya mengapa Zayn Rayyan berbinkan Abdul Matin tetapi dalam dokumen sijil kelahiran tertera nama Zaim Ikhwan sebagai bapa.
Mohd Hafizee menjawab, siasatan pihaknya mendapati hal ini kerana pasangan itu lewat mendaftar perkahwinan di Malaysia.
“Siasatan saya mendapati Zaim Ikhwan dan Ismanira berkahwin di Narathiwat, Thailand, sekitar Jun 2016 dan terlewat mendaftar perkahwinan di Malaysia.
“Oleh demikian, (Zayn Rayyan) berbinkan (antara satu) 99 nama Allah,” katanya.
Ismanira dan Zaim, kedua-duanya berusia 30 tahun, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengabaikan kanak-kanak pada 13 Jun tahun lepas.
Kesalahan itu didakwa antara tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam, 6 Dis 2023.
Jika sabit kesalahan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, mereka boleh didenda hingga RM50,000, penjara 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023, sebelum mayatnya ditemukan di sungai berhampiran Apartment Idaman pada hari berikutnya.
Perbicaraan di hadapan Syahliza diteruskan.