MM2H bukan platform beri kewarganegaraan, kata menteri

MM2H bukan platform beri kewarganegaraan, kata menteri

Malaysia Rumah Keduaku adalah program pas lawatan sosial dengan kemudahan visa ulang-alik membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh tertentu.

MM2H
Sehingga 31 Dis lalu seramai 744 peserta membeli rumah bawah program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
KUALA LUMPUR:
Kerajaan tidak pernah membuka peluang untuk ekspatriat mendapat kewarganegaraan menerusi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata MM2H adalah program pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang- alik yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh tertentu.

“Setakat hari ini, program MM2H tidak pernah bagi permohonan kewarganegaraan, pemastautin tetap atau MyPR.

“Ia adalah program pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan visa berulang-alik yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia bagi tempoh lima hingga 20 tahun melalui empat kategori utama iaitu platinum (20 tahun), gold (15 tahun), silver (5 tahun) dan zon ekonomi khas (10 tahun),” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN- Dungun) yang ingin tahu sama ada terdapat pemohon MM2H yang mendapat kewarganegaraan melalui inisiatif itu.

Tiong berkata, sehingga 31 Dis lalu seramai 744 peserta MM2H membeli rumah bawah program itu, manakala 2,637 peserta lagi masih dalam proses pembelian termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli serta mengenal pasti lokasi kediaman sesuai.

Katanya, peserta dari China merekodkan jumlah pembelian tertinggi dengan 304 unit rumah, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41) dan United Kingdom (40).

Negara lain yang mencatat pembelian termasuk Hong Kong (34), Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15), Indonesia dan Jepun masing-masing (14), India (13) serta Kanada (10).

Selain itu, pembelian turut direkodkan peserta dari Myanmar (8), Perancis (7), Jerman (4), Itali, New Zealand, Pakistan dan Turki masing-masing (3), manakala Denmark dan Afrika Selatan masing-masing (2).

Selebihnya melibatkan satu pembelian setiap negara termasuk Belgium, Brunei, Bulgaria, Kemboja, Grenada, Hungary, Iraq, Ireland, Laos, Maldives, Malta, Maghribi, Belanda, Oman, Filipina, Rusia, Sepanyol, Switzerland, Vanuatu, Vietnam dan Yaman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.