
Ketua Penerangan MIPP, Justin Prabakaran, berkata surat itu dihantar semalam kepada Presiden PAS Hadi Awang dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai langkah proaktif menjaga kestabilan gabungan Perikatan Nasional (PN).
“Semalam, presiden MIPP (P Punithan) telah menghantar surat rasmi kepada presiden PAS dan Bersatu, menggesa ahli dan pemimpin supaya tidak menyertai himpunan tersebut.
“Langkah ini bertujuan melindungi kerjasama erat dalam PN serta menjamin keharmonian, keamanan, dan keselamatan negara,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, MIPP turut menghantar surat kepada Ketua Polis Negara Khalid Ismail bagi memohon campur tangan pihak berkuasa.
Sebelum ini, Justin yang juga ketua Pemuda MIPP dilaporkan menggesa semua pihak menghentikan serta-merta kenyataan, naratif atau perhimpunan yang melabelkan rumah ibadat sebagai haram.
Katanya, melabelkan rumah ibadat sebagai haram adalah tindakan yang menyentuh sensitiviti 3R (kaum, agama, raja) dan berpotensi mencetuskan ketegangan serta perpecahan dalam masyarakat.
Semalam, Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar, berkata tiada arahan rasmi dikeluarkan kepada ahlinya untuk menyertai perhimpunan mendesak tindakan diambil terhadap rumah ibadat dibina secara haram, Sabtu ini di Kuala Lumpur.
Katanya, bagaimanapun beliau secara peribadi menyokong penganjuran perhimpunan itu dan menggesa isu tersebut diselesaikan mengikut lunas undang-undang.
Kenyataan Sukri muncul selepas Malaysiakini melaporkan satu gabungan NGO merancang perhimpunan di Kuala Lumpur bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap rumah ibadat yang dibina secara haram.
Protes aman itu dijadual diadakan berhampiran kompleks membeli-belah Sogo bermula 8 malam melibatkan kira-kira 141 NGO.