
Dalam kenyataan, KDN berkata polis akan berjumpa penganjur perhimpunan dan meminta mereka memberi kerjasama tidak meneruskan perhimpunan yang dirancang.
Katanya, lawatan itu yang akan bermula esok hingga 8 Feb adalah simbolik kepada hubungan diplomatik yang kukuh serta semangat saling menghormati antara kedua-dua negara.
“KDN melalui pasukan polis bertanggungjawab menyusun semua persiapan keselamatan yang rapi bagi memastikan kelancaran acara tersebut tanpa sebarang gangguan terhadap ketenteraman awam.
“Orang ramai digesa tidak mengadakan sebarang perhimpunan di tempat awam sepanjang tempoh lawatan rasmi tersebut,” katanya.
Terdahulu, sekumpulan ahli PKR menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan untuk menghentikan perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram anjuran sebuah NGO di Kuala Lumpur esok.
Wakil kumpulan itu, Thiban Subbramaniam mendakwa walaupun himpunan digambarkan sebagai aman, terdapat unsur provokasi dan kenyataan media yang disasarkan kepada satu agama khususnya Hindu.
Penganjuran perhimpunan dirancang di pekarangan Kompleks Sogo mendapat bantahan beberapa pihak termasuk Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) iaitu rakan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Rabu lalu, FMT melaporkan Ketua Penerangan MIPP, Justin, Prabakaran berkata pihaknya menghantar surat rasmi kepada pucuk pimpinan PAS dan Bersatu supaya tidak menyertai perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram dianjurkan gabungan NGO.