
Mewakili kumpulan itu, Adun Taman Medan, Afif Bahardin, berkata keputusan dibuat tanpa rundingan dengan wakil rakyat, penduduk serta peniaga setempat yang terkesan secara langsung selain menuntut proses libat urus awam diadakan sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Macam mana kerajaan negeri beri kelulusan di kawasan ini. Kuil ini asalnya kuil yang dibina di atas tanah majlis agama Islam iaitu kuil binaan haram yang dah lama di situ. Bila nak ambil tindakan, penguatkuasaan mereka kena pindahkan.
“Saya tak ada halangan untuk kerajaan negeri ambil tindakan, nak beri tapak ganti pun saya setuju cuma pilihan tapak ganti bukan di kawasan Melayu Islam. Itu yang kita tak setuju,” katanya ditemui selepas protes itu.
Untuk rekod, kuil asal terletak di PJS 4 dibina atas tanah milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan perlu dipindahkan kerana akan dibangunkan tanah perkuburan berkelompok.
Menerusi notis ditampal di lokasi baharu, keputusan itu dicapai dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 25 Nov lalu yang meluluskan Lot 76417, Bandar Petaling Jaya Selatan diwartakan sebagai tapak rumah ibadat bukan Islam (Ribi) bagi kegunaan Persatuan Penganut Sri Maha Mariamman Desa Perangsang.

Mengulas lanjut Afif berkata, bantahan bukan bertujuan menafikan kebebasan beragama mana-mana pihak, sebaliknya bagi menjaga keharmonian komuniti setempat.
“Kawasan ini 95% adalah Melayu Islam. Analogi saya saya mudah, kalau saya bina masjid di tengah bandar baru Cina itu tak logik. Jadi, jangan buat kuil di sini tapi buat tempat yang sesuai…di kawasan yang ada komuniti India,” katanya.
Sementara itu, Afif berkata surat rasmi bantahan akan dihantar kepada kerajaan negeri hari ini bagi meminta keputusan tersebut dibatalkan atau digantung, sementara satu proses libat urus awam yang menyeluruh dilaksanakan.