
Timbalan Pengarah Operasi Jentera PKR, Azam Afandi, memaklumkan jabatan pilihan raya negeri parti memecat Tan Hung Nye, pegawai bagi Kampong Coldstream, demi menjaga integriti serta kelancaran pentadbiran organisasi di peringkat akar umbi.
“Saya nak tegaskan tindakan beliau membantu kempen calon PN itu bukan arahan PKR dan tidak mewakili parti,” katanya kepada FMT.
PKR Tapah juga akan menghantar surat tunjuk sebab kepada Tan, dan merujuk tindakan yang didakwa dilakukan itu kepada biro lembaga disiplin parti.
“Saya amat kecewa dengan tindakan beliau itu yang baharu sahaja memenangi jawatan AJK PKR Tapah dalam pemilihan baru-baru ini,” katanya, yang juga ketua PKR Tapah.
DUN Ayer Kuning mempunyai 20 daerah mengundi dan Kampong Coldstream salah satu daripada tujuh yang dimenangi Pakatan Harapan pada PRU lalu. Selebihnya dimenangi Barisan Nasional (9) dan PN (4).
Kali ini, PH yang dianggotai PKR membantu calon BN mempertahankan DUN Ayer Kuning daripada PN dan Parti Sosialis Malaysia.
Sementara itu, PKR Tapah melantik pegawai baharu bagi Kampong Coldstream. “Jentera PKR akan terus bekerja demi memastikan kemenangan calon perpaduan.”
Rakyat Ayer Kuning akan memilih wakil mereka pada 26 Apr. Kerajaan perpaduan meletakkan Mohamad Yusri Bakir yang dicabar oleh Abdul Muhaimin Malek (PN) dan KS Bawani (PSM).