‘Counter setting’: 3 anggota imigresen direman seminggu

‘Counter setting’: 3 anggota imigresen direman seminggu

Tiga suspek ditahan sekitar Kuala Lumpur, Nilai dan Johor Bahru Isnin lalu.

Tiga anggota imigresen dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan hari ini untuk permohonan perintah reman. (Gambar SPRM Pahang)
PETALING JAYA:
Tiga pegawai imigresen direman tujuh hari kerana disyaki menjadi sebahagian sindiket membawa masuk warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan rasuah lebih RM10 juta.

Perintah reman hingga 21 April ini terhadap tiga suspek berusia lingkungan 40-an dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria susulan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Berita Harian melaporkan, tiga suspek termasuk seorang wanita ditahan secara berasingan di Kuala Lumpur, Nilai dan Johor Bahru, semalam.

Penahanan itu hasil siasatan ke atas kegiatan sindiket membawa masuk warga asing tanpa melalui pemeriksaan sah di pintu masuk negara dipercayai aktif sejak 2021 hingga 2024.

Sindiket menggunakan modus operandi ‘counter setting’ itu dipercayai menerima sejumlah wang rasuah disyaki turut diagihkan kepada anggota imigresen lain yang menjadi tali barut bagi melepaskan warga asing tanpa melalui prosedur pemeriksaan ditetapkan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, mengesahkan penahanan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.