
Menteri Loke Siew Fook berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan seorang pemandu ‘ulat teksi’, susulan kejadian seorang pelancong asing ditipu dengan caj berlipat ganda di KLIA 2 baru-baru ini.
“Selepas tular di media sosial dua hari lalu mengenai seorang pelancong asing yang ditipu oleh ‘ulat’ di KLIA T2 — dengan tawaran asal RM60 tetapi dipaksa membayar RM800 sebelum turun daripada kereta — saya mengarahkan JPJ menjejaki kenderaan tersebut.
“Semalam, selepas operasi samaran di KLIA, JPJ berjaya menahan kenderaan tersebut bersama pemandunya. Kereta itu disita serta-merta dan kertas siasatan dibuka untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Loke berkongsi gambar kenderaan yang disita dan merakamkan penghargaan kepada JPJ atas tindakan pantas.
Pada 15 Sept lepas, video seorang pelancong asing tular di media sosial yang mendedahkan dia ditawarkan tambang RM60 oleh seorang lelaki warga tempatan ketika mencari bas ke sebuah hotel di ibu negara.
Sebaik tiba di depan hotel, pemandu berkenaan enggan berhenti, sebaliknya memandu ke kawasan sunyi sebelum menuntut bayaran sebanyak RM836, kira-kira 14 kali ganda daripada jumlah asal.