
Ketuanya, Dr Akmal Saleh, berkata Pemuda tidak sesekali akan memboikot PRK DUN di Perak itu.
“Kita tak jadi calon, orang kata kita akan boikot. Bila masa kita boikot? Nak rasa kecewa boleh, tetapi tak jadi alasan untuk kita patah semangat,” katanya dalam majlis amanat Pemuda BN sempena PRK Ayer Kuning malam tadi.
Akmal berkata, walaupun Pemuda tidak dicalonkan kali ini, semangat perjuangan tetap utuh selepas kejayaan besar calonnya dalam PRK Nenggiri dan Mahkota sebelum ini.
Beliau menyeru semua jentera Pemuda menjadikan PRK Ayer Kuning sebagai medan membalas jasa kepada pihak yang menyokong mereka sebelum ini.
“Kita kena kerja kuat bukan soal calon Pemuda tetapi mesti menjaga maruah BN. Ketepikan kekecewaan, kita fokus untuk menang semua saluran undi muda,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda Umno mengemukakan calon tunggal mereka bagi PRK itu, namun pucuk pimpinan parti memilih Yusri yang juga setiausaha Umno Tapah mewakili BN.
Sementara itu, mengulas ketiadaan program bersama antara Pemuda BN dan Pakatan Harapan (PH), Akmal berkata perkara tersebut bukan isu.
“Tiada masalah. Kita bagi kelonggaran. Masing-masing ada wakil, yang penting kemenangan BN di PRK Ayer Kuning,” katanya.
Hari ini adalah penamaan calon bagi PRK Ayer Kuning.
Selain Yusri sebagai wakil BN, Perikatan Nasional sebelum ini mengumumkan Abdul Muhaimin Malek mewakili mereka manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan KS Bawani.
Hari pengundian ditetapkan pada 26 April ini.