
Ia susulan bahagian Umno itu memutuskan hubungan dengan gabungan tersebut selepas mendakwa tidak dilayan secara adil.
Timbalan Pengerusi PH Wilayah Persekutuan, Azman Abidin, berkata pihaknya sedia mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Umno Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, bagi menjernihkan keadaan.
“Saya sedia jumpa, tiada masalah. Soal kecil hati itu kita akan betulkan balik. Kita akui Umno Batu banyak membantu kita termasuk kepada PKR di kawasan Batu.
“Isu yang berlaku akan diselesaikan secara keluarga, walaupun kita akui ada sedikit salah faham berhubung beberapa isu termasuk soal pelantikan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dibangkitkan Umno Batu,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kerjasama pihaknya dengan Umno Wilayah Persekutuan termasuk bahagian Batu sebenarnya masih baik dan dalam proses untuk selesaikan isu dibangkitkan parti itu.
Pada 17 Sept lalu FMT melaporkan Ketua Umno Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, menjelaskan keputusan dibuat sebulat suara biro politik kerana PH gagal menunaikan janji memberikan satu daripada enam sub zon MPP di bahagian berkenaan kepada pihaknya, sebagaimana pekeliling diputuskan biro politik bahagian berkenaan.
Beliau juga mendakwa, Ahli Parlimen Batu daripada PKR tidak pernah memberi peruntukan kepada Umno untuk melaksanakan kerja di kawasan berkenaan, selain pimpinan PH Wilayah Persekutuan tidak pernah menjemput mereka berbincang bagi mengukuhkan kerjasama Barisan Nasional-PH.
Mengulas dakwaan tiada rundingan kerjasama politik menghadapi PRU16, Azman yang juga ketua PKR Wilayah Persekutuan berkata perkara itu akan dilaksanakan apabila tiba waktunya.
Katanya, fokus kerjasama dua gabungan parti itu ketika ini adalah untuk membantu masyarakat setempat.
“Belum buat keputusan apa-apa soal PRU16. Kita akan tentukan bila masa sampai. Sehingga kini tiada keputusan daripada pimpinan tertinggi soal (kerjasama PRU).Fokus kita nak berkhidmat kepada masyarakat di Wilayah Persekutuan,” katanya.