Umno anjur konvensyen bincang RUU PSB 3 Okt

Umno anjur konvensyen bincang RUU PSB 3 Okt

Konvensyen diadakan untuk dapatkan maklum balas masyarakat, cari penyelesaian isu berbangkit RUU PSB, kata Johari Ghani.

Johari Abdul Ghani
Johari Ghani berkata, pandangan yang dikumpul pada konvensyen akan digunakan bagi merumus resolusi dan cadangan penambahbaikan RUU PSB.
PETALING JAYA:
Sebuah konvensyen khusus membincangkan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan diadakan pada 3 Okt depan.

Ketua Pasukan Khas Umno bagi penambahbaikan Rang Undang-Undang (RUU) PSB Johari Ghani berkata, konvensyen itu diadakan bagi mendapatkan maklum balas masyarakat untuk mencari penyelesaian semua isu berbangkit berhubung RUU itu.

“Jadi ini kita jemput speaker dalam kalangan pemimpin-pemimpin dan pemegang taruh,” kata naib presiden Umno itu dalam forum Urbanisasi dan URA: Survival Melayu Bandar yang disiarkan secara atas talian.

“Buat masa ini, ada lebih kurang 14 speaker akan berucap bagi pandangan, apa pandangan mereka mengenai URA (Akta PSB).”

Menurut Johari, konvensyen itu akan diadakan di Dewan Tun Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 3 petang.

Menteri perladangan dan komuniti itu berkata, pandangan yang dikumpul pada konvensyen itu akan digunakan bagi merumus resolusi dan cadangan penambahbaikan RUU PSB sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

“Saya ini cuma koordinator yang dilantik oleh Presiden Umno Zahid Hamidi, dan juga Jawatankuasa Ahli Majlis Tertinggi Umno untuk anjurkan program ini bagi mendapatkan maklum balas pada peringkat akar umbi,” katanya menambah, pandangan rakyat turut harus diambil kira.

Pada 28 Ogos lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan, RUU PSB perlu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada projek pembinaan semula kediaman selesa untuk kesejahteraan rakyat.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berharap bacaan kedua RUU itu ditangguhkan sementara, mengambil kira kebimbangan banyak pihak.

Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalus melalui sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.

Dalam pada itu, dilaporkan sebelum ini bahawa Pemuda PAS akan menganjurkan Himpunan Mega Tolak URA sebagai tanda solidariti bersama rakyat menolak dasar ini pada 4 Okt.

Timbalan ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, sehingga 50,000 peserta dijangka hadir pada perhimpunan aman itu.

Terdahulu, RUU PSB dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming pada 21 Ogos.

RUU itu antara lainnya bertujuan memastikan kawasan perumahan lama dapat dibangunkan semula secara lebih terancang, adil dan inklusif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.