
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata untuk menjadi kuat seperti Sarawak, pemimpin negeri itu perlu memilih pendekatan sedemikian berbanding politik pecah belah dan dendam kesumat.
“Kalau nak jadi macam Sarawak kena ada ‘unity’ dan solidariti dalam kalangan pemimpin di Sabah.
“Persoalan siapa calon di Sabah lihat bawa pendekatan tersebut, bagi saya (adalah) Hajiji. Sebab dia cuba bawa semua orang (termasuk) yang tikam dari belakang bersama,” katanya dalam episod terbaru audiosiar Lebih Masa yang dihoskan bekas naib presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup (KPDN) berkata demikian ketika ditanya mengenai calon yang layak menjadi ketua menteri Sabah pada PRN akan datang.
Mengulas lanjut, Armizan berkata pendekatan perpaduan dibawa Hajiji juga antara faktor Pakatan Harapan (PH) memilih untuk bekerjasama dengan GRS di Sabah.
Katanya, PH tidak memilih Warisan yang diketuai Shafie Apdal walaupun pernah bekerjasama membentuk kerajaan negeri pada 2018.
“Adun PH memilih kekalkan Hajiji berbanding bersama Shafie. Mereka lihat lebih selesa pendekatan Hajiji yang lebih membawa semangat kesatuan ini berbanding politik pecah belah, dendam kesumat.
“Jadi (Hajiji dilihat) bawa citra kesatuan untuk semua pihak bersama-sama,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata GRS juga mahu membawa model kerajaan negeri mesti diketuai oleh parti tempatan berbanding parti nasional.
Beliau berkata ini kerana perbincangan mengenai Sabah lebih senang dilakukan tanpa melalui di peringkat parti.
“Tak tolak kerjasama dengan parti nasional. Jika lihat Perdana Menteri Anwar Ibrahim, walaupun ada PKR dan PH di Sabah tetapi jika bincang hal Sabah hanya melibatkan Anwar dengan Hajiji,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata kes kematian Zara Qairina Mahathir sememangnya memberi kesan kepada politik di Sabah kerana ada pihak cuba mempolitikkannya.
Beliau bagaimanapun berkata kes Zara itu menjadi pengajaran kepada kerajaan untuk berhati-hati dan bertindak pantas dalam mengeluarkan kenyataan kepada orang awam.
“Saya lihat kes ini membuka mata semua pihak dan pengajaran apabila melibatkan nyawa kenyataan serta tindakan perlu dibuat segera,” katanya.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.