
Pegawai penyiasat Aiman Suhaimi berkata tertuduh satu-satunya individu dilihat menghampiri kenderaan bernombor pendaftaran PMH 6391 sebelum ditahan pasukan polis yang membuat serbuan.
“Pistol tiruan itu ditemui di bawah tempat duduk penumpang hadapan sebelah kiri kereta digunakan tertuduh,” katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya Sabri Othman.
Aiman berkata semakan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan bahawa kereta itu didaftarkan di atas nama Yusoff.
“Tiada orang awam lain mempunyai akses kepada keretanya,” kata saksi pendakwaan ke-12 itu semasa pemeriksaan utama.
Aiman turut menjelaskan beliau hanya ditugaskan untuk menyiasat Yusoff berhubung pemilikan pistol tiruan itu.
Yusoff didakwa memiliki dua pucuk pistol tiruan di luar Kondominium Senada di Jalan Bukit Kiara pada jam 9.25 pagi, 6 Sept tahun lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Yusoff turut didakwa mengedar 305gm ganja yang ditemui dalam kereta tersebut ketika diparkir di hadapan surau pada jam 10.15 pagi, hari sama.
Pertuduhan kes itu dibuat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan rotan jika disabit kesalahan.
Yusoff mendakwa pistol tiruan dan dadah tersebut telah diletakkan oleh polis bagi mengadakan pertuduhan terhadapnya.
Aiman, yang merakam kenyataan daripada Yusoff dua hari selepas tangkapan, berkata tertuduh mendakwa telah kehilangan satu daripada dua kunci keretanya semasa berpindah ke kondominium itu pada Julai tahun lalu.
“Saya tidak bertanya sama ada dia telah membuat laporan berhubung kehilangan kunci itu,” kata Aiman yang turut menjelaskan Yusoff telah memiliki kereta itu sejak Mei tahun lalu.
Aiman berkata Yusoff mengakui tidak membaiki sistem keselamatan penggera kereta yang rosak walaupun masalah itu timbul dua minggu sebelum serbuan polis dilakukan.
Saksi itu berkata Yusoff tinggal bersama seorang wanita pada masa itu yang dikatakan tidak mempunyai akses kepada keretanya dan memiliki kenderaan sendiri.
Menurut Aiman, beliau tidak menyiasat sebarang ancaman terhadap Yusoff walaupun terdapat laporan polis dibuat terhadap dua individu lain.
“Laporan-laporan itu dibuat pada 2019 dan tidak berkaitan dengan siasatan saya,” tambahnya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Jamil Hussin bersambung.