Anak syarikat Petronas diarah bayar RM7.6 juta

Anak syarikat Petronas diarah bayar RM7.6 juta

Mahkamah Tinggi putus Petronas Dagangan Bhd secara salah gagal teruskan transaksi jual beli terminal bahan api Sibu.

mahkamah kuala lumpur
Mahkamah Tinggi KL turut perintah Petronas Dagangan Bhd bayar faedah 5% setahun kepada Maxop Energy Sdn Bhd.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan saman RM7.6 juta oleh Maxop Energy Sdn Bhd terhadap Petronas Dagangan Bhd (PDB) berhubung pertikaian penjualan terminal bahan api Sibu.

Hakim Su Tiang Joo berkata, pihak-pihak memasuki kontrak yang mengikat dan boleh dikuatkuasakan bagi penjualan terminal berkenaan.

Dalam penghakiman lisannya hari ini, Su berkata, PDB yang juga anak syarikat Petronas, secara salah enggan meneruskan transaksi itu.

Mahkamah turut memerintahkan PDB dikenakan faedah pada kadar 5% setahun bermula 9 Jan 2020, iaitu tarikh saman itu difailkan, sehingga ganti rugi dibayar sepenuhnya, selain kos RM130,000 dibayar kepada Maxop.

Pertikaian itu berhubung sama ada perjanjian jualan dimuktamadkan, walaupun tiada perjanjian jual beli formal ditandatangani.

Selepas perbicaraan selama tujuh hari, mahkamah mendapati elemen kontrak penting, termasuk pihak-pihak, hartanah dan harga, telah dipersetujui, seterusnya tindakan PDB adalah satu pelanggaran.

Maxop diwakili peguam Ong Yu Jian, Joshua Ho dan Nurul Hanani Azamuddin, manakala Faisal Moideen, Maximilian Tai dan Siti Shyazana Mokhsein tampil bagi pihak PDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.