
Hakim Aliza Sulaiman hari ini membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 30 Okt bagi pengurusan kes, susulan tiada bantahan daripada Peguam Kanan Persekutuan Faisal Noor
Fahmi, 48, memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan pihak berkuasa yang didakwa menyekat perjalanannya ke luar negara pada Jun.
Beliau turut memohon pembatalan keputusan meletakkan namanya dalam senarai pemantauan pergerakan oleh polis dan Imigresen, yang menyebabkan beliau disoal siasat setiap kali ke luar negara.
Fahmi menamakan menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia sebagai dua lagi responden.
Menerusi afidavitnya, Fahmi berhujah, tindakan meletakkan namanya dalam senarai pemantauan itu tiada asas perundangan, menyifatkannya sebagai sekatan terhadap kebebasan, privasi dan pergerakannya.
“Saya akan ditahan di dalam sebuah bilik dan diajukan soalan peribadi tentang rancangan perjalanan saya. Proses ini boleh mengambil masa berjam-jam,” katanya.
Beliau mempertikaikan bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk meletakkannya di bawah pemantauan atau menyoal siasat, lebih-lebih lagi apabila beliau tidak menghadapi sebarang tuduhan di mahkamah mahupun siasatan aktif.
“Tindakan berterusan meletakkan saya dalam senarai pemantauan pergerakan tanpa sebarang siasatan aktif atau proses jenayah yang belum selesai adalah suatu bentuk hukuman extrajudicial yang bertujuan menindas hak-hak saya di bawah Perlembagaan,” katanya.
Menurutnya, beliau mempunyai jangkaan yang sah untuk dapat bebas bergerak tanpa sekatan, kecuali yang dibenarkan oleh undang-undang.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan pihak berkuasa yang tidak telus dan penguatkuasaan sewenang-wenangnya merupakan pencabulan haknya di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Fahmi, yang diwakilii peguam Yohendra Nadarajan, menuntut ganti rugi khas sebanyak RM408, di samping ganti rugi am, teladan, dan teruk untuk ditaksir oleh mahkamah.
Pada 7 Jun lepas, Fahmi ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika hendak menaiki penerbangan ke Singapura.
Beliau mendakwa, seorang pegawai Imigresen memaklumkan bahawa Bukit Aman enggan memberi pelepasan kepadanya untuk ke luar negara.
Berikutan insiden itu, ketua polis negara ketika itu, Razarudin Husain, memaklumkan bahawa berlakunya ‘salah faham’ semasa pemeriksaan di sempadan sehingga menyebabkan sekatan perjalanan ‘tersilap dikeluarkan’ terhadap Fahmi.