Keluarga Altantuya dibenar mula semakan kehakiman terhadap polis, peguam negara

Keluarga Altantuya dibenar mula semakan kehakiman terhadap polis, peguam negara

Keluarga wanita Mongolia itu mohon semakan kehakiman supaya afidavit tambahan dan akuan bersumpah disiasat lanjut.

Altantuya Shaariibuu
Pada 10 Okt 2024, Mahkamah Persekutuan ganti hukuman mati terhadap Azilah Hadri dengan penjara 40 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan keluarga Altantuya Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah seorang bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

Hakim Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan memaklumkan mahkamah bahawa peguam negara tidak membantah permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk semakan kehakiman tersebut.

“Mahkamah menetapkan 31 Okt ini untuk pengurusan kes,” katanya pada prosiding kes yang turut dihadiri oleh peguam Sangeet Kaur Deo bagi pihak keluarga Altantuya.

Pada 25 Ogos lepas, bapa Altantuya, iaitu Dr Shaariibuu Setev memfailkan permohonan itu dengan menamakan ketua polis negara, pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), polis, peguam negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Shaariibuu memohon deklarasi bahawa keputusan kesemua responden yang tidak memaklumkan kepada beliau status siasatan terkini yang dijalankan pada 2019 oleh JSJ Bukit Aman terhadap kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah diikrarkan Azilah Hadri adalah bertentangan dengan undang-undang.

Afidavit tambahan bertarikh 24 Sept 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Okt 2019 itu digunakan oleh bekas pegawai polis tersebut bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Okt 2024.

Kedua-dua dokumen antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa dia mendapat arahan daripada ‘pihak atasan’ untuk menjalankan ‘operasi sulit’ bagi ‘membunuh dan menghapuskan si mati’.

Shaariibuu selaku pemohon berkata, sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus agar siasatan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah.

Turut dimohon perintah mandamus agar kesemua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh responden kedua (JSJ Bukit Aman) terhadap kandungan kedua-dua dokumen dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.

Shaariibuu juga berkata, jika kesemua responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai ‘Tiada Tindakan Lanjut,’ beliau mahukan alasan mengapa tindakan itu diambil.

Pada 10 Okt 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan selama 40 tahun dan 12 sebatan bagi kesalahan membunuh Altantuya selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan oleh bekas pegawai polis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.