
Hakim Mahazan Mat Taib menolak permohonan syarikat minyak negara itu untuk menukar saman pemula antara tuntutan (interpleader originating summons) Shell MDS menjadi writ.
Hal ini kerana, menurutnya, pertikaian pembayaran antara Petronas dan Petros adalah berkenaan persoalan undang-undang, bukannya persoalan fakta.
Beliau berkata, dalam kes writ, saksi dipanggil untuk memberi keterangan dan tidak hanya bergantung pada kenyataan bertulis, namun ia tidak perlu dalam kes ini kerana tiada fakta yang dipertikaikan.
“Tiada asas untuk penukaran daripada OS (saman pemula) kepada writ, kerana isunya berkaitan dengan perjanjian penjualan gas (antara Petronas dan Shell MDS, serta Petros dan Shell MDS) dan instrumen kerajaan lain yang berkaitan,” katanya, lapor The Edge.
Beliau juga berkata, tiada isu kredibiliti saksi yang timbul kerana ia melibatkan undang-undang persekutuan dan negeri.
Tambahnya, perbicaraan penuh akan melambatkan penyelesaian kes itu.
“Ini tidak mewajarkan penukaran kerana fakta tidak dipertikaikan, dan isunya adalah mengenai keterangan undang-undang dan dokumen. Mahkamah bersetuju untuk mengekalkan OS antara tuntutan dan tidak menukarnya menjadi perbicaraan adversari,” kata Mahazan.
Petros dan kerajaan Sarawak sebelum ini membantah permohonan Petronas pada 21 Feb untuk menukar prosiding kepada perbicaraan penuh, manakala Shell MDS mengambil pendirian neutral.
Mahazan mengarahkan satu tarikh ditetapkan untuk pemfailan dokumen.
Bagaimanapun, peguam Petronas, Khoo Guan Huat dan Azian Aziz, memohon satu tarikh pengurusan kes untuk mendapatkan arahan lanjut. Hakim kemudiannya menetapkan perkara itu untuk semakan secara dalam talian pada 10 Nov.
Prosiding hari ini turut dihadiri Peguam Persekutuan Muhammad Muhairi Mohamad Noh yang mewakili kerajaan persekutuan; peguam bagi pihak Petros Foo Joon Liang; dan JC Foong yang mewakili kerajaan Sarawak.
Sementara itu, Christopher Leong dan Janet Chai bertindak bagi pihak Shell MDS.
Pada 22 Sept, Mahkamah Rayuan mengetepikan injunksi interim diperoleh Shell MDS daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menghalangnya daripada membuat bayaran bulanan untuk gas yang diperoleh daripada Petronas, susulan tuntutan invois bersaing daripada Petros.
Shell MDS diperintahkan membayar jumlah tertunggak yang terhutang kepada Petronas selewat-lewatnya pada 6 Okt bagi tempoh Ogos 2024 hingga 5 Okt tahun ini.
Petronas mendakwa, Shell MDS berhutang antara RM70 juta hingga RM80 juta sebulan sejak Ogos 2024, susulan injunksi yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada Januari tahun ini. Jumlah terhutang itu, termasuk faedah, mungkin mencecah hampir RM1 bilion.
Injunksi Mahkamah Tinggi itu diberikan selepas Shell MDS menerima invois bersaing berjumlah RM80 juta setiap satu daripada Petronas dan Petros, yang menjadi agregator gas bagi Sarawak sejak Mac.