
Rahmat Fitri Abdullah berkata penjenayah dan penganjur judi dalam talian melaksanakan pelbagai taktik licik yang mendedahkan risiko penipuan kepada pengguna media sosial.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mewujudkan pasukan khas memantau platform berkenaan.
“Tugasnya membantu turunkan atau sekat sebanyak mungkin laman sesawang atau akaun media sosial tawarkan judi dalam talian.
“Tak perlu tunggu aduan, bila cepat turun atau sekat maksudnya dapat elak ia sampai kepada orang ramai,” katanya kepada FMT.
Pada 13 Feb lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sebanyak 5,026 laman sesawang judi telah disekat dan 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial juga turut diturunkan dari 2022 sehingga 1 Feb lalu.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan ekosistem rangkaian internet lebih selamat dan lestari kepada semua pengguna.
Ia juga selari tindakan SKMM mewajibkan setiap perkhidmatan media sosial memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588 bermula 1 Jan lalu.
Rahmat turut mencadangkan satu peruntukan undang-undang bagi memberikan kuasa kepada polis memeriksa telefon bimbit individu bagi mengekang aktiviti judi secara atas talian.
“Kena ambil tindakan keras kepada pemain judi, sekat platform sahaja tak memadai kerana mereka boleh cari platform lain.
“Jadi kena benarkan polis tahan orang disyaki terbabit dalam judi dalam talian,” katanya.
Sementara itu, pakar jenayah dan kriminologi bebas Shahul Hamid Abd Rahim berkata kerajaan perlu menilai peruntukan sedia dan menambah hukuman terhadap pesalah yang terlibat dengan aktiviti tersebut.
Menurutnya, ia bagi menambah rasa gerun kepada sindiket termasuk dari luar negara yang kerap menjadikan Malaysia sebagai ‘markas’ judi dalam talian.
Shahul turut menggesa ibu bapa untuk kerap memeriksa telefon bimbit anak-anak mereka memandangkan golongan muda juga mudah terdedah dengan kegiatan terbabit.
“Teknologi seperti telefon pintar ini ada baik dan buruk tetapi bila beri kepada anak-anak kena pantau.
“Bimbang mereka ini akan dikhayalkan dengan habuan-habuan tertentu ditawarkan dalam judi dalam talian,” katanya.