Keluarga tahanan mati dalam reman dapat pampasan RM490,000

Keluarga tahanan mati dalam reman dapat pampasan RM490,000

Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan kakitangan penjara dan doktor cuai dalam memberi rawatan kepada R Anilraj yang meninggal dunia pada 18 Dis 2018.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Shah Alam menganugerahkan pampasan RM490,000 kepada ibu bapa R Anilraj serta kos sebanyak RM150,000.
PETALING JAYA:
Ibu bapa kepada penjaga parkir R Anilraj yang meninggal dunia akibat batuk kering (tuberkulosis) semasa dalam tahanan reman dianugerahkan pampasan RM490,000.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan kakitangan penjara dan doktor cuai dalam memberikan rawatan kepadanya.

Hakim Khadijah Idris berkata bahawa ibu mendiang R Uthaya Sundari dan bapanya R Ravichandran telah berjaya membuktikan kes mereka berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Pasangan tersebut telah menamakan pegawai kanan dan warden penjara, tiga orang doktor dari klinik penjara Sungai Buloh, serta kerajaan sebagai defendan dalam saman difailkan pada 2021.

Dalam penghakiman yang disampaikan semalam, Khadijah berkata pegawai penjara telah melanggar kewajipan statutori mereka di bawah Akta Penjara 1995 dan peraturan berkaitan.

Hakim juga memutuskan doktor yang bertugas di klinik terbabit telah cuai dalam menjalankan tugas mereka.

Khadijah menganugerahkan pampasan sebanyak RM100,000 untuk kesakitan dan penderitaan, RM300,000 untuk ganti rugi teruk, RM20,000 untuk ganti rugi khas, RM60,000 untuk kehilangan sokongan, dan RM10,000 untuk kesedihan.

Beliau berkata kerajaan secara vikarius bertanggungjawab atas kecuaian kakitangannya dan doktor, selain memerintahkan defendan membayar RM150,000 sebagai kos kepada ibu bapa mendiang.

Dr S Leelawathy, seorang pakar kesihatan awam dan pensyarah di sebuah universiti swasta, adalah antara enam saksi yang memberi keterangan bagi pihak plaintif.

Pihak kerajaan pula mengemukakan lapan saksi dalam pembelaannya, termasuk seorang pakar perubatan pernafasan.

Peguam PA Sharon mewakili ibu bapa mendiang manakala peguam kanan persekutuan Siti Syakimah Ibrahim mewakili kerajaan.

Menurut fakta kes, Anilraj ditahan reman di Penjara Sungai Buloh bermula 11 April 2018 selepas didakwa di mahkamah sesyen atas kesalahan memiliki dadah.

Beliau ditemui meninggal dunia oleh rakan selnya pada 18 Dis 2018.

Dalam penyataan tuntutan mereka, ibu bapanya berkata anak mereka sihat dan tidak menghidap tuberkulosis sebelum ditahan.

Pada bulan Julai, Anilraj mengadu sakit dan telah mendapatkan rawatan perubatan.

Menjelang akhir Oktober, Anilraj mengalami demam dan batuk berpanjangan. Dia kembali ke klinik dan dirawat oleh tiga orang doktor terbabit.

Namun, ibu bapanya mendakwa doktor telah tersalah diagnosis dengan menyatakan Anilraj menghidap masalah perut dan jangkitan saluran pernafasan atas, tanpa mempertimbangkan kemungkinan tuberkulosis paru-paru.

Selepas ditemui oleh rakan selnya, Anilraj diperiksa oleh salah seorang defendan yang mengesahkan kematiannya pada awal pagi.

Laporan bedah siasat bertarikh 1 Jun 2020 mengesahkan bahawa Anilraj telah meninggal dunia akibat tuberkulosis yang berada di peringkat lanjut.

Tiada inkues dijalankan walaupun ibu bapanya telah merayu agar ia diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.