Kerajaan, polis diperintah bayar keluarga Pastor Koh RM37 juta

Kerajaan, polis diperintah bayar keluarga Pastor Koh RM37 juta

Mahkamah Tinggi perintah kerajaan dan polis bayar pampasan atas penglibatan kerajaan dalam penculikannya.

Pastor Raymond Koh
Pastor Raymond Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan kerajaan dan polis membayar pampasan berjumlah lebih RM37 juta kepada keluarga Pastor Raymond Koh atas penglibatan kerajaan dalam penculikannya.

Hakim Su Tiang Joo memutuskan, satu atau lebih defendan, yang terdiri daripada pegawai polis berkhidmat dan bekas pegawai, terlibat dalam penculikan Koh dan bertindak mengikut ‘satu arahan’ lapan tahun lalu.

Su memerintahkan sejumlah RM33 juta dikenakan terhadap kerajaan atas ‘perbuatan salah’ yang dilakukan ke atas Koh.

Bagaimanapun, jumlah wang tersebut mesti disimpan dalam satu dana amanah dan tidak boleh diserahkan terus kepada Liew dan tiga anak mereka.

“Wang itu perlu disimpan sehingga keberadaan paderi itu dapat dipastikan,” katanya.

Beliau juga memerintahkan sejumlah RM4 juta dianugerahkan kepada Liew sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Selain itu, hakim memerintahkan kos RM250,000 dibayar.

Koh diculik pada 13 Feb 2017 ketika sedang memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu bahawa lima lelaki bertopeng dengan pakaian seragam tentera berwarna hitam menarik Koh keluar dari keretanya.

Isteri Koh, Susanna Liew, memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan atas penglibatan kerajaan dalam kehilangannya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.