Kenapa siasat himpunan anti-Sosma, soal Ahli Parlimen DAP

Kenapa siasat himpunan anti-Sosma, soal Ahli Parlimen DAP

Bekas menteri undang-undang Ramkarpal Singh tertanya-tanya sama ada siasatan terhadap peserta wajar ambil kira pendirian Putrajaya mahu melakukan reformasi atas akta itu.

hunger strike penjara sungai buloh
Keluarga tahanan Sosma berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh pada minggu ini bagi menunjukkan protes selepas permohonan lawatan ditolak.
KUALA LUMPUR:
Seorang penyokong kerajaan mempersoal keperluan pihak berkuasa menyiasat himpunan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) diadakan pada hujung minggu.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) tertanya-tanya sama ada ia langkah wajar mengambil kira pendirian Putrajaya untuk melakukan reformasi ke atas akta berkenaan.

“Jadi kenapa perlunya kita siasat satu demonstrasi yang sah,” kata bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) di Dewan Rakyat.

Pada 9 Feb, Malaysiakini melaporkan polis melancarkan siasatan terhadap himpunan itu, yang mendesak Sosma dimansuh.

Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh.

Ketua Polis Sungai Buloh, Hafiz Nor, berkata pihak berkuasa menyiasat himpunan itu mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Katanya, seksyen itu mengenai kegagalan mengemukakan notis perhimpunan.

Chow Yu Hui (PH-Raub) juga berkata, siasatan itu tidak perlu.

“Sosma mesti dimansuhkan.”

Keluarga tahanan Sosma pada minggu ini berkampung di pekarangan Penjara Sungai Buloh bagi menunjukkan protes selepas permohonan lawatan ditolak.

Mereka juga melancarkan mogok lapar yang berlangsung sehari bagi menunjukkan solidariti bersama tahanan, selepas Suhakam berkata, badan itu akan menyiasat dakwaan rawatan penjagaan kesihatan tidak mencukupi dan penangguhan perbicaraan dihadapi beberapa tahanan Sosma.

Mansuh Sosma, kata Ahli Parlimen

Dalam perkembangan berasingan, lima bekas Ahli Parlimen Pakatan Harapan turut menggesa kerajaan memansuhkan akta itu, sambil menyuarakan tiba masa bagi Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas layanan tahanan bawah Sosma.

Ong Kian Ming, Khalid Samad, Kasthuri Patto, Noor Amin Ahmad, dan Maria Chin Abdullah, berkata kerajaan Madani sepatutnya melakukan semakan semula Sosma, khususnya menilai sama ada ia masih diperlukan.

“Terdapat banyak sangat laporan dan protes daripada tahanan melibatkan layanan teruk dan tempoh penangguhan lama bagi pendengaran mahkamah. Penyalahgunaan prosedur sedemikian mesti ditamatkan.

“Sebagai bekas tahanan yang pernah bertemu dengan beberapa tahanan Sosma, perdana menteri akan memahami nasib yang mereka tempuh.

“Memandangkan Parlimen bersidang, Ahli Parlimen dan Jemaah Menteri boleh memulakan perbincangan menamatkan prosedur dan perundangan yang tidak demokratik ini,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.