Pihak keluarga henti mogok lapar, tahanan Sosma teruskan

Pihak keluarga henti mogok lapar, tahanan Sosma teruskan

Keluarga terlibat mahu bertemu KDN bagi mendapatkan jawapan mengapa permohonan melawat tahanan ditolak.

hunger protest
Kira-kira 50 orang berkhemah di luar Penjara Sungai Buloh dalam solidariti dengan 32 tahanan Sosma. (Gambar Suaram)
PETALING JAYA:
Ahli keluarga 32 tahanan Sosma sudah menghentikan mogok lapar, namun ia akan diteruskan oleh tahanan, menurut seorang aktivis.

“Tahanan menuntut pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertemu mereka,” kata Azura Nasron, dari kumpulan hak asasi manusia, Suaram, yang berada bersama keluarga tahanan di luar Penjara Sungai Buloh.

Beliau berkata ahli keluarga bimbang dengan keadaan 32 tahanan terbabit selepas Jabatan Penjara menyatakan tahanan tidak mahu bertemu mereka. Tiada alasan diberikan, menurutnya.

“Buat masa ini, tiada komunikasi antara keluarga dan tahanan. Mereka bergantung pada apa yang Jabatan Penjara beritahu mereka,” katanya.

Wakil Jabatan Penjara berunding dengan ahli keluarga tahanan bagi menamatkan mogok lapar. (Gambar Suaram)

Kira-kira 50 orang, termasuk ahli keluarga dan penyokong, berkhemah di luar penjara sejak Sabtu. Ahli keluarga membuat keputusan untuk melancarkan mogok lapar dalam solidariti bersama tahanan, selepas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengumumkan ia akan menyiasat dakwaan rawatan perubatan yang tidak mencukupi dan perbicaraan tertangguh yang dihadapi beberapa tahanan.

Belum dapat dipastikan berapa keluarga mengambil bahagian dalam mogok ini.

Azura berkata keluarga terbabit merancang untuk bertemu pegawai KDN esok, di Putrajaya, bagi mendapatkan jawapan mengapa permohonan melawat tahanan ditolak. “Ahli keluarga bersama wakil penjara akan bersama-sama untuk bertemu pihak KDN,” katanya.

Dilaporkan semalam bahawa permohonan itu tidak diluluskan pada hari Jumaat, selepas pegawai penjara beritahu mereka bahawa pejabat penjara ditutup selama lima hari kerana cuti Thaipusam. Thaipusam jatuh pada hari Selasa, 11 Feb.

Tahanan terbabit ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) yang membenarkan penahanan sehingga 28 hari bagi sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan keselamatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.