Keluarga tahanan Sosma lancar mogok lapar di luar Penjara Sg Buloh

Keluarga tahanan Sosma lancar mogok lapar di luar Penjara Sg Buloh

Kira-kira 50 penunjuk perasaan berpakaian hitam berkumpul di luar Penjara Sungai Buloh dan mendesak kerajaan memansuhkan Sosma.

hunger strike penjara sungai buloh
M Logesvaran (kanan) bersama beberapa ahli keluarga tahanan Sosma membuat bantahan di luar Penjara Sungai Buloh selepas permohonan mereka untuk melawat tahanan ditolak.
SUNGAI BULOH:
Beberapa ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012 memulakan mogok lapar di luar Penjara Sungai Buloh sebagai bantahan selepas permohonan lawatan mereka ditolak.

Kira-kira 50 penunjuk perasaan memakai pakaian hitam berkumpul di luar kompleks penjara kira-kira 11.30 pagi dan mendesak kerajaan memansuhkan Sosma.

Abang kepada seorang tahanan, M Logesvaran, 49, berkata keluarga mahu melawat adiknya yang ditahan untuk mengetahui tahap kesihatan dan keadaan kehidupan mereka di penjara.

Bagaimanapun, permohonan mereka untuk melawat ditolak semalam dan pegawai penjara memaklumkan pejabat ditutup selama lima hari susulan cuti Thaipusam. Perayaan Thaipusam jatuh pada 11 Feb ini.

Logesvaran berkata, dia dimaklumkan pagi ini bahawa 32 tahanan memulakan mogok lapar, dan ahli keluarga mereka juga memutuskan untuk mengadakan mogok lapar di luar penjara sebagai solidariti bersama tahanan.

“Benarkan seorang ahli keluarga melawat tahanan ini supaya kami tahu keadaan mereka,” kata Logesvaran kepada wartawan di luar penjara.

Kumpulan hak asasi manusia, Suaram yang mengkoordinasi bantahan hari ini, akan mengadakan sidang media.

Rabu lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berkata ia akan menyiasat dakwaan beberapa tahanan Sosma tidak mendapat penjagaan perubatan sewajarnya dan lewat dibicarakan.

Seorang lagi penunjuk perasaan Aveline Lordasamy, 35, menggesa pihak berkuasa membenarkan adik lelakinya dibebaskan dengan ikat jamin selepas ditahan pada September tahun lalu atas dakwaan terlibat dalam aktiviti pertubuhan haram.

Katanya, adiknya didakwa di Mahkamah Tinggi Klang pada Disember lalu tetapi tidak diberikan jaminan menyebabkan keluarganya menghadapi kesulitan kewangan.

Keluarga terbabit sudah membuat memorandum menuntut pihak berkuasa menyegerakan tarikh perbicaraan tahanan, membebaskan tahanan tidak sihat atau memberi mereka jaminan.

Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy, menggesa kerajaan menghantar wakil ke tapak protes untuk menerima memorandum ahli keluarga itu.

“Ahli keluarga merasakan ada tanggungjawab mengetengahkan isu ini kepada kerajaan. Mereka akan berada di sini selama beberapa hari – atau selama mana yang mereka fikirkan perlu.”

Di bawah Seksyen 13 Sosma, jaminan hanya dibenarkan jika individu yang berdepan pertuduhan berkaitan kesalahan keselamatan adalah bawah 18 tahun, wanita, sakit atau uzur.

Sosma memberikan pihak berkuasa kuasa luas untuk bertindak terhadap ancaman subversif, ketenteraman awam serta aktiviti keganasan, sabotaj dan pengintipan.

Bagaimanapun, pengkritik mendakwa undang-undang itu bersifat drakonian dan mencabul hak asasi individu seperti yang dijamin dalam Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.