Filipina dakwa Malaysia enggan kerjasama kes siasatan bekas datuk bandar

Filipina dakwa Malaysia enggan kerjasama kes siasatan bekas datuk bandar

Alice Guo yang didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah China melarikan diri dari Filipina ke Malaysia.

Alice Guo juga dikenali sebagai warga China Guo Hua Ping, dikehendaki oleh senat Filipina kerana enggan menghadiri siasatan kongres berhubung dakwaan hubungannya dengan sindiket jenayah China. (Gambar Senat Filipina/AFP)
PETALING JAYA:
Jabatan Kehakiman Filipina berkata Malaysia enggan bekerjasama dalam siasatannya terhadap bekas datuk bandar Alice Guo, yang melarikan diri ke negara ini.

Setiausaha Kehakiman Filipina, Crispin Remulla, berkata pihak berkuasa Malaysia enggan memberikan maklumat penting untuk membantu siasatan, seperti rekod penerbangan dan butiran penerbangan diambil Guo untuk melarikan diri dari Filipina.

“Malaysia sepatutnya memberi kami maklumat itu. Mereka tahu pesawat apa yang dimasuki, dan di mana dia naik, tetapi mereka enggan memberikannya kepada kami,” katanya, menurut Daily Tribune.

Remulla berkata, keengganan Malaysia untuk bekerjasama dikaitkan dengan tuntutan timbang tara USD14.92 bilion kepada pihak mendakwa waris Sultan Sulu yang telah dibatalkan.

Beliau berkata, Manila telah menggunakan semua saluran diplomatik mendapatkan kerjasama dari Malaysia namun buntu.

Guo, juga dikenali sebagai warga China Guo Hua Ping, dikehendaki oleh senat Filipina kerana enggan menghadiri siasatan kongres berhubung dakwaan mempunyai hubungan dengan sindiket jenayah China.

Dia melarikan diri dari Filipina untuk ke Malaysia, Singapura dan Indonesia menggunakan pasport Filipinanya, Julai lalu.

Guo akhirnya ditangkap di Indonesia sebelum dihantar pulang ke Filipina. Pelbagai tuduhan pengubahan wang haram melibatkan 100 juta peso (USD1.8 juta) telah difailkan terhadapnya dan 35 yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.