
Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Zainul Rijal Abu Bakar, berkata Kuala Lumpur mempunyai kedudukan perlembagaan berbeza berbanding pihak berkuasa tempatan lain kerana ia merupakan Wilayah Persekutuan yang ditadbir oleh kerajaan persekutuan.
“Ia sekali gus meletakkan DBKL sebagai entiti pentadbiran persekutuan, bukannya di bawah kuasa negeri.
“Peruntukan perlembagaan memberi kuasa penuh kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang bagi Wilayah Persekutuan seolah-olah ia badan perundangan negeri.
“Maka, tidak timbul keperluan perlembagaan atau statutori untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi DBKL,” katanya dalam kenyataan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebelum ini memaklumkan kementerian sedang mengkaji kemungkinan mengadakan pilihan raya datuk bandar sebagai antara kaedah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan DBKL.
Menurut Zainul, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan sebarang hak khusus untuk pilihan raya kerajaan tempatan, dengan hak memilih yang dijamin secara jelas hanya terpakai kepada pilihan raya Parlimen dan DUN.
“Oleh itu, ketiadaan pilihan raya DBKL tidak boleh dianggap sebagai pencabulan hak demokratik,” katanya, sambil menambah sebarang pilihan raya lain hanya boleh diadakan jika diperuntukkan melalui undang-undang persekutuan atau negeri.
Mengulas dari sudut undang-undang pentadbiran, beliau berkata pentadbiran bandar raya melibatkan keputusan teknikal dan kompleks seperti perancangan guna tanah, pengangkutan awam dan keselamatan awam, yang memerlukan kepakaran serta kesinambungan pentadbiran tanpa tekanan politik jangka pendek.
Beliau memberi amaran, pilihan raya DBKL boleh mewujudkan pertindihan mandat antara datuk bandar yang mempunyai legitimasi politik dengan kerajaan persekutuan yang masih mengawal aspek penting seperti tanah, kewangan dan keselamatan, sekali gus mencetuskan konflik dasar dan risiko keputusan ultra vires.
Menurutnya, di bawah sistem ‘Westminster’, menteri bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen terhadap DBKL, namun prinsip tanggungjawab menteri itu akan terjejas jika datuk bandar dipilih melalui pilihan raya.
“Sebagai ibu negara, Kuala Lumpur menempatkan institusi persekutuan, misi diplomatik asing dan infrastruktur strategik, justeru pentadbirannya melibatkan kepentingan keselamatan dan nasional yang melangkaui isu tempatan semata-mata,” katanya.
Zainul turut merujuk kepada penggantungan pilihan raya kerajaan tempatan sejak 1965 yang menurutnya dibuat atas pertimbangan kestabilan negara dan kekal sebagai dasar konsisten merentas kerajaan, tanpa pernah diputuskan mahkamah sebagai bercanggah perlembagaan.
Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) memberi amaran sebarang langkah memperkenalkan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur berisiko mencetuskan kekeliruan institusi dan konflik perundangan jika dilaksanakan tanpa kajian semula undang-undang dan perlembagaan sedia ada.