Nasib pilihan raya kerajaan tempatan

Nasib pilihan raya kerajaan tempatan

Pilihan raya tempatan digantung sejak 1965, namun ura-ura usaha hidupkannya semula undang resah segelintir pihak.

dbkl
Kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan mengenai pemilihan datuk bandar Kuala Lumpur menerusi pilihan raya tempatan.
PETALING JAYA:
Perbalahan politik mengenai pilihan raya majlis tempatan kembali hangat selepas dilaporkan bahawa satu kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan berhubung pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Gesaan untuk mengembalikan semula pilihan raya tempatan dibangkitkan sekali lagi tahun lepas oleh seorang pemimpin DAP susulan penamatan perkhidmatan bekas datuk bandar Kuala Lumpur Maimunah Sharif secara mengejut, hanya setahun lebih selepas beliau dilantik.

Penyokong pilihan raya tempatan berhujah bahawa ia akan menjamin tadbir urus yang lebih telus, namun penentangnya khuatir bahawa satu kumpulan etnik akan memonopoli jawatan, sekaligus menimbulkan kemungkinan tercetusnya konflik perkauman.

Pilihan raya tempatan pernah diadakan pada masa lalu, namun digantung pada 1965 sebelum dimansuhkan sepenuhnya setahun kemudian.

FMT menyingkap kembali isu ini.

Bermulanya pilihan raya tempatan

Kuala Lumpur melaksanakan pilihan raya majlis perbandarannya buat pertama kali pada 1952, setahun selepas George Town.

Menerusi sebuah pakatan, Umno Kuala Lumpur dan MCA Selangor bertanding pada pilihan raya itu dan berjaya menawan sembilan daripada 12 kerusi. Pakatan ini turut melakar kemenangan berturut-turut dalam siri pilihan raya perbandaran lain sepanjang era 1950an.

Bagaimanapun, pilihan raya majlis tempatan yang dijadualkan bagi 1965 dan 1966 terpaksa ditangguhkan susulan pengisytiharan darurat disebabkan Konfrontasi Indonesia–Malaysia.

Sebuah suruhanjaya diraja yang ditubuhkan pada 1965 menyarankan agar pilihan raya tempatan itu dikembalikan, namun kerajaan persekutuan menolak cadangan itu dan mewartakan Akta Kerajaan Tempatan 1976, sekaligus memansuhkan fungsi pilihan raya tersebut.

Akta ini memperuntukkan kuasa kepada kerajaan negeri untuk melantik datuk bandar, yang dipertua, serta ahli majlis, menggantikan kaedah pemilihan menerusi undian awam.

Pada 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor yang dipimpin Pakatan Harapan (PH) cuba menghidupkan semula pilihan raya itu bagi menunaikan janji manifesto, namun usaha tersebut tidak berhasil.

Pada 2021, menteri perumahan dan kerajaan tempatan ketika itu Reezal Merican Naina Merican turut menolak pelaksanaan pilihan raya tempatan atas faktor kos yang tinggi, dianggarkan mencecah RM2 juta bagi setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Sementara itu, pada Februari 2024, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyatakan bahawa pilihan raya majlis tempatan bukan suatu keutamaan.

Buat masa ini, katanya, kementeriannya sedang menumpukan perhatian pada isu-isu lain seperti keselamatan jalan raya serta kebersihan tandas awam dan longkang.

Apa kata pengkritik

Dalam pada kajian kebolehlaksanaan mengenai pilihan raya DBKL masih berjalan, beberapa pemimpin Umno, PAS dan Bersatu tampil menentang cadangan tersebut.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata, banyak isu lain yang lebih mendesak untuk ditangani.

Beliau turut menyangkal hujah bahawa pilihan raya sedemikian akan menjadikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih cekap, pendekatan yang menurutnya ‘terlalu simplistik, naif serta salah arah’

Dalam pada itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi membangkitkan kebimbangan bahawa pilihan raya seumpama itu mungkin dipengaruhi oleh ‘samseng’ yang akan menyokong calon tertentu, manakala Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz sebelum ini berkata, Kuala Lumpur memerlukan pentadbir yang cekap, bukannya pilihan raya tempatan.

Kehendak warga kota

Tinjauan pada 2025 yang dijalankan oleh Invoke, sebuah NGO yang dikaitkan dengan pemimpin PKR Rafizi Ramli, mendapati blebih separuh penduduk Kuala Lumpur, atau 62%, lebih cenderung memilih datuk bandar sendiri, manakala 28% menyokong pelantikan datuk bandar oleh kerajaan persekutuan. Baki 10% penduduk pula tidak pasti.

Pecahan tinjauan melibatkan 700 penduduk itu menunjukkan bahawa tiga perempat responden India dan Cina menyokong pilihan raya tempatan, tetapi hanya 52% orang Melayu, yang membentuk separuh populasi Kuala Lumpur, bersetuju.

Menurut statistik rasmi, ibu negara didiami seramai 2.07 juta orang, terdiri daripada warganegara dan bukan warganegara.

Tinjauan Invoke juga mendapati 40% responden bimbang akan timbul ketegangan kaum jika pilihan raya tempatan dilaksanakan, manakala 25% risau Kuala Lumpur kekal di bawah kawalan persekutuan.

Sementara itu, 19% melaporkan kebimbangan berhubung ketidakstabilan ekonomi.

Langkah seterusnya?

Pada Disember lepas, Nik Nazmi Nik Ahmad daripada PKR bersama enam Ahli Parlimen PH yang lain mencadangkan pengenalan sistem majlis yang dianggotai oleh ahli majlis lantikan Ahli Parlimen Kuala Lumpur dan dipengerusikan oleh datuk bandar.

Bagaimanapun, Parti Sosialis Malaysia membantah idea tersebut dengan alasan ia akan menghalang penduduk daripada menentukan wakil mereka sendiri, memandangkan Ahli Parlimen yang akan memilih calon, sementara penduduk hanya mampu memilih dalam kalangan calon.

Nik Nazmi mempertahankan cadangannya dalam satu forum baru-baru ini, menyatakan bahawa pilihan raya secara langsung adalah terlalu rumit dan tidak realistik.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, untuk meneruskan cadangan pilihan raya kerajaan tempatan atau datuk bandar, struktur tadbir urus semasa di Kuala Lumpur perlu ditambah baik terlebih dahulu, menambah bahawa ibu negara kini sedang dibelenggu isu pentadbiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.