Ahli Parlimen DAP gesa polis siasat kenyataan ‘hasutan’ Hadi

Ahli Parlimen DAP gesa polis siasat kenyataan ‘hasutan’ Hadi

Lim Lip Eng berkata dakwaan Hadi Awang yang pemimpin DAP secara terbuka menentang Islam tidak harus dibiarkan dan galakkan ucapan berbahaya.

hadi
Semalam, Presiden PAS Hadi Awang berkata berlaku penentangan terhadap Islam secara terbuka oleh DAP dalam isu cadangan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama dua penggal.
PETALING JAYA:
Polis digesa menyiasat kenyataan berbaur hasutan Presiden PAS Hadi Awang yang mendakwa pemimpin DAP secara terbuka menentang Islam.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, berkata wakil rakyat Marang itu mengeluarkan tuduhan berkenaan dalam tulisannya menyentuh isu berkait mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal, semalam.

Katanya, cadangan dibangkitkan DAP baru-baru ini hanya mengulangi pendirian pernah disuarakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS, empat tahun lalu.

Dakwanya, Hadi mungkin mengeluarkan kenyataan yang kononnya cadangan itu bertentangan ketetapan tuhan kerana ketandusan idea dan hanya mahu menyalahkan DAP.

“Polis mesti segera menyiasat kenyataan Hadi yang jelas berbaur hasutan apabila mendakwa ‘pemimpin DAP secara terbuka menentang Islam’.

“Tiada siapa kebal daripada undang-undang dan jika dibiarkan, kenyataan seperti ini hanya akan menggalakkan lebih banyak ucapan berbahaya.

“Tindakan tegas perlu diambil sekarang sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Hadi menerusi tulisan di minda presiden PAS mendakwa berlaku penentangan terhadap Islam secara terbuka oleh DAP dalam isu cadangan mengehadkan tempoh seseorang memegang jawatan perdana menteri selama dua penggal.

Beliau turut menolak cadangan DAP itu yang disifatkan sebagai membelakangi ketetapan Allah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut baik cadangan itu namun mahu ia dibincangkan sebaiknya untuk mendapat persetujuan ramai.

Pada 13 Ogos 2021, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang ketika itu perdana menteri dilaporkan berkata kerajaan sedia melaksanakan rang undang-undang untuk melaksanakan dasar tersebut jika berjaya mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau memberikan komitmen itu ketika kerajaan pimpinannya memerlukan sokongan daripada Ahli Parlimen blok pembangkang selepas beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan.

Namun, beliau tidak mendapat sokongan diperlukan dan menyerahkan tampuk pentadbiran kepada Ismail Sabri Yaakob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.