Asal bukan abah tapi mesti si polan?

Asal bukan abah tapi mesti si polan?

Jika kompromi berjalan lancar dan ditakdirkan PN menang jangan pula berkelahi PAS dengan Bersatu - siapa layak jadi PM?

Mohsin Abdullah

Selepas presiden PAS berjaya menaikkan semangat sayap Pemudanya menuntut orang PAS dijadikan calon perdana menteri untuk Perikatan Nasional – beliau kendurkan pula semangat itu. Apa hal?

Ini kesimpulan yang saya buat setelah melihat apa yang berlaku atau dilakukan oleh PAS pada muktamarnya tempoh hari.

Begini. Pasti kita belum lupa kata Hadi Awang bahawa ‘orang macam saya’ yang berusia 78 tahun tidak layak jadi perdana menteri. Lalu mencadangkan ‘biarlah orang yang kuat, sihat dan berusia bawah 70 tahun jadi perdana menteri’. Dalam pada itu beliau juga kata PAS sudah bersedia memimpin Malaysia.

Pemuda melihat itu satu isyarat daripada presiden lantas mengusulkan PAS ambil alih pentadbiran PN sekali gus pemimpin parti itu dijadikan calon perdana menteri gabungan tersebut. Usul disokong padu oleh muktamar.

Tetapi, takkan usul itu dibawa berikutan kenyataan presiden sahaja. Mustahil usul boleh dirumus dan digubal serta-merta selepas Hadi kata apa yang beliau kata.

Amalan lazim parti politik ialah sesuatu usul yang mahu dibawa ke persidangan besar anjurannya akan dimaklumkan dan diberi lampu hijau terlebih dahulu oleh ibu pejabat atau urus setia persidangan.

Rasanya begitu juga PAS. Maksud saya pimpinan parti sudah tahu apa yang akan diusulkan. ‘It’s not that they were caught off guard’.

Apa pun keadaannya Pemuda PAS dengan penuh semangat membawa usul yang disebut tadi, dan seperti disebut tadi juga perwakilan muktamar teruja serta menyokong. Apa reaksi presiden?

Semasa berucap pada sesi penggulungan muktamar Hadi menghadiahkan serangkap pantun kepada sayap Pemudanya berbunyi: “Dari Kuala Muda pergi ke Ipoh, berbekal ketupat pergi ke Pangkor. Orang muda memang gopoh, dan nak melompat nanti tersungkur.”

Dan kata Hadi Pemuda PAS tidak akan dapat menjawab pantun itu kerana beliau tidak akan beri ruang untuk mereka menjawab. Seloroh? Mungkin. Atau mungkin juga nada seloroh mesejnya serius?

Apa yang Hadi kata ialah tidak wajar Pemuda PAS bertindak tergesa-gesa dalam mencapai kemenangan. Katanya, mereka mesti berhati hati dalam percaturan.

Apa ertinya ini? Gesaan Pemuda supaya dalam kalangan pemimpin PAS diangkat sebagai calon perdana menteri tidak diterima secara automatik. Ditolak? Atau belum diterima? Meskipun usul disokong perwakilan muktamar, mengikut peraturan parti ia mesti dimuktamadkan oleh kepimpinan PAS. Dan tidak semestinya diterima bulat-bulat hanya kerana muktamar menyokongnya sebulat suara. Rujuk semula pantun Hadi tadi.

Menurut Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pemimpin tertinggi gabungan akan mengadakan mesyuarat minggu depan untuk bincang dan putuskan calon PM PN. ‘Next week will be the all important meeting’.

Pada pandangan saya, PAS mahu Muhyiddin digantikan. ‘That’s a given’. Memang jelas. Soalnya siapa pengganti? Muktamar mahu diganti oleh pemimpin PAS. Namun, pada hemat saya jika bukan dalam kalangan PAS pun, kepimpinan tidak akan berkecil hati. Malah, akan mengizinkan jika pemimpin PAS boleh menentukan siapa orang itu walaupun datang dari luar PAS.

Seperti dikata penganalisis dan pemerhati politik yang saya sebut pada artikel sebelum ini, jika PAS rasa calon luar parti boleh memberi manfaat ia akan setuju dan pendam hasrat jadi calon PM. Dalam lain perkataan jika calon datang daripada Bersatu (selain Muhyiddin) dan orang itu boleh menjanjikan kemenangan, pada hemat saya PAS tak kisah. Ia boleh terima.

Memang PAS tidak perlukan Bersatu untuk menang (tetapi Bersatu perlu PAS untuk menang), ia mahu Bersatu untuk beri PN imej lembut atau toleran berbanding imej PAS yang ramai lihat sebagai Islamis garis keras. Ini penting khusus untuk mendapat sokongan masyarakat bukan Islam, bukan Melayu.

Namun, seperti saya pernah tulis berulang kali Bersatu pula sudah mula lebih PAS daripada PAS yang boleh menjauhkan sokongan masyarakat bukan Melayu. Tetapi, tindakan Bersatu boleh difahami kerana parti itu perlu sokongan orang Melayu lantas berpendapat ikut cara PAS boleh pikat hati pengundi Melayu. Ini sudah terbukti pada PRU terutama beberapa PRN lalu.

Maka, tinggallah PAS dengan hasrat untuk berwajah lembut menggunakan Bersatu. Namun, PAS tidak punya pilihan. Tidak ada rotan akar pun berguna. Sekurang-kurangnya ada sedikit ‘kelembutan’ berbanding tonjol imej PAS terajui PN.

Bersatu sudah pilih Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ – tetapi PAS kita tahu tidak setuju. Dalam mahu menentukan calon PM daripada Bersatu bolehkah disifatkan PAS telah atau cuba mencampuri urusan Bersatu? Tidak hormat suara majoriti Bersatu?

Dan bolehkah dikata PAS mendapat sokongan dalaman Bersatu sendiri untuk masuk campur? Yakni orang dalam Bersatu yang mahu dijadikan pengganti Muhyiddin tolong PAS dari dalam?

Pada pendapat saya, apa yang disajikan pada muktamar PAS lalu ialah gertak supaya Bersatu ubah pendirian, tukar calon PM mereka dan digantikan dengan pemimpin Bersatu direstui PAS. Jika tidak, PAS akan ambil alih pentadbiran PN dan angkat dalam kalangan mereka jadi calon PM seperti dimahukan muktamarnya.

Pemimpin Bersatu pilihan PAS untuk jadi PM mesti ‘kawtim’ dengan Hadi dan saf kepimpinannya. Ertinya PAS berkuasa di sebalik takhta. ‘That’s how I see it anyway. I stand corrected of course’.

Atau mungkinkah mesyuarat kepimpinan tertinggi PN minggu depan sepakat memutuskan tidak namakan calon PN. Katalah ada kompromi. Ini menurut saya bagus untuk masa ini. Jangka pendek. Itu pun jika kompromi boleh bertahan. Puak dalam Bersatu yang disokong PAS mungkin bergasak dengan puak pro-Muhyiddin atau pemimpin Bersatu yang direstui Muhyiddin untuk menjadi penggantinya.

Jika kompromi berjalan lancar dan ditakdirkan PN menang jangan pula berkelahi PAS dengan Bersatu – siapa layak jadi PM?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.