Kemelut Bersatu: PAS memihak Hamzah berbanding Muhyiddin, kata penganalisis

Kemelut Bersatu: PAS memihak Hamzah berbanding Muhyiddin, kata penganalisis

Penganalisis politik percaya akan berlaku pertelingkahan antara PAS dan penyokong setia Muhyiddin Yassin dalam Bersatu.

Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilihat seolah-olah parti itu lebih memilih Hamzah Zainudin berbanding Muhyiddin Yassin, walaupun Hadi berkata rujukan umur itu tidak ditujukan kepada sesiapa.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik percaya PAS memihak dalam perebutan kepimpinan Bersatu, dengan parti Islam itu lebih cenderung kepada Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, berbanding Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Perkara itu susulan penolakan secara halus Muhyiddin sebagai calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN), apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan bahawa parti itu mahu pemimpin berusia bawah 70 tahun.

Penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid, yang baru bersara dari Universiti Sains Malaysia, berkata beliau percaya akan berlaku pertelingkahan antara PAS dengan penyokong Muhyiddin dalam Bersatu.

Katanya, PAS tidak mahu dibebani dengan kes mahkamah yang dihadapi Muhyiddin, atau isu melibatkan menantu presiden Bersatu itu, Adlan Berhan, yang kini diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beliau berkata PAS juga akan mempertaruhkan reputasinya sebagai parti yang berintegriti dan bersih bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Di sebalik pendirian Hadi

Bagaimanapun, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpendapat pendirian Hadi itu lebih menunjukkan keyakinan bahawa PAS mampu mengemukakan calon perdana menteri, bukannya untuk mengukuhkan kedudukan Hamzah.

Beliau juga bersetuju bahawa Hadi seolah-olah menolak hasrat Muhyiddin untuk kembali menjadi perdana menteri, terutama dengan pengaruh dan dominasi PAS yang semakin ketara dalam PN.

Katanya, PAS kini merasakan mereka ada kelebihan selepas timbul desakan di perhimpunan agung Bersatu supaya Muhyiddin berundur.

Pada muktamar minggu lalu, Hadi berkata PAS akan memilih seseorang yang ‘sihat dan berusia bawah 70 tahun’ sebagai calon perdana menteri.

Muhyiddin, yang berusia 78 tahun, dicalonkan oleh Bersatu sebagai calon perdana menteri pada minggu sebelumnya. Beliau pernah berkhidmat sebagai perdana menteri kelapan pada 2020-2021.

Hamzah, yang dilantik sebagai ketua pembangkang dengan sokongan PAS, berusia 68 tahun dan sering disebut sebagai calon perdana menteri berpotensi bagi PN.

Hadi, yang mencecah usia 78 tahun bulan depan, kemudian menjelaskan kenyataannya itu bukan ditujukan kepada sesiapa kecuali dirinya sendiri dan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, bahawa mereka berdua terlalu tua untuk jawatan itu.

Majlis Tertinggi PN dijangka bermesyuarat minggu ini untuk membincangkan perkara tersebut.

‘PAS akan bersikap pragmatik’

Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Southeast Asia juga berpendapat kenyataan Hadi itu sudah pasti menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan penyokong Muhyiddin, lebih-lebih lagi dengan kemelut yang masih melanda parti itu.

Namun, beliau juga berpendapat Hadi tidak akan memberi isyarat sokongan kepada mana-mana pihak dalam Bersatu, sebaliknya bercakap khusus dalam konteks calon perdana menteri daripada PAS.

“Situasi ketika ini terlalu jauh untuk diperbetulkan. Dalam politik Malaysia, tiada apa yang kekal, dan isu ini masih boleh dirunding sekiranya Muhyiddin masih bertekad mahu menjadi calon perdana menteri PN.

“Akhirnya, PAS akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mendapat sokongan Bersatu. Pragmatisme politik sentiasa menjadi panduan kepada keputusan PAS dalam politik gabungan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.