
Hadi berkata, ramai yang menerima idea itu seolah-olah melupakan atau tidak mempedulikan dasar lebih penting bagi mencapai wawasan dunia dan akhirat, yang mewajibkan Islam memimpin negara.
“Hal ini demikian kerana, tanggungjawab tersebut merupakan amanah yang besar daripada Allah.
“Bukan sekadar membahagikan jawatan atau memberikan kerja dalam tempoh tertentu kepada seseorang untuk menikmati jawatan, kemudian digilirkan kepada seseorang yang lain untuk mengambil kesempatan juga,” katanya di Facebook.
Ahad lalu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata pihaknya mahu kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan termasuk menguatkuasakan had dua penggal untuk jawatan perdana menteri.
Katanya, cadangan itu bukan bertujuan melemahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaliknya untuk mengukuhkannya sebagai sebahagian daripada legasinya di jawatan tertinggi.
Anwar menyatakan sokongan terhadap cadangan itu tetapi menekankan keperluan untuk mendapatkan konsensus daripada pihak lain mengenainya.
Hadi memberi amaran bahawa penyelewengan yang paling sesat adalah apabila umat Islam terpengaruh dengan golongan bukan Islam.
Beliau berkata, segala urusan umat hanya boleh dikendalikan oleh kalangan yang beragama Islam dengan memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.
“Memimpin negara adalah amanah besar daripada-Nya kepada umat manusia dan mewajibkan kepimpinan Islam yang beriman. Kelayakannya akan hilang apabila berlaku khianat,” katanya.
Ahli Parlimen Marang itu juga berkata sepanjang sejarah, semua khalifah Islam menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin sehingga akhir hayat mereka, dengan komitmen tidak berbelah bahagi.
“Allah telah menetapkan bahawa para anbiya’ yang membawa ajaran Islam, juga berperanan sebagai pemimpin. Selepas kewafatan mereka, tugas itu digantikan oleh golongan yang meneruskan ajaran para anbiya’,” katanya.
Hadi, bagaimanapun berkata, PAS tetap terbuka untuk bekerjasama dengan bukan Islam yang ‘tidak ekstrem’ dan yang boleh menerima kepimpinan Islam di Malaysia.
Beliau juga mendakwa, golongan liberal yang menguasai politik negara hari ini sedang merosakkan sistem yang memberi hak kepada Islam.