
Ketua Penyelidikan di MIDF Amanah Investment Bank, Imran Yusof, berkata pakej menyelamat itu tidak boleh ditafsirkan sebagai ‘bailout’ semata-mata.
“Ini kerana suntikan modal, di mana kerajaan berhak ke atas syarikat itu, adalah untuk membayar sebahagian daripada hutang dan bukan kesemuanya,” katanya kepada FMT.
“Juga terdapat syarat ketat yang disertakan sekali — yang paling penting ialah ia hanya boleh digunakan untuk menyelesaikan wang yang terhutang kepada vendor,” katanya, dan menambah kerajaan juga tidak membeli — atau menyelamatkan — pemegang saham utama syarikat itu.

Imran bersetuju syarat ketat yang dikenakan kerajaan itu membayangkan Sapura Energy tidak boleh bersewenang-wenang dari segi bagaimana dana itu boleh digunakan.
Sapura Energy dalam pemfailan bursa pada Selasa memaklumkan bahawa Menteri Kewangan (Diperbadankan), melalui syarikat tujuan khasnya, Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH), akan melanggan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar pada nilai RM1.1 bilion, tertakluk pada syarat tertentu.
Ini bermakna kerajaan bukannya memberi geran tetapi pinjaman kepada Sapura Energy, yang boleh ditukar menjadi saham syarikat kemudian. Jadi, jika nasib bertambah baik, MDH boleh menukar hutang menjadi saham, dan berpotensi mendapat keuntungan daripada sebarang kenaikan harga saham Sapura Energy.
Jika semuanya berjalan lancar, kerajaan akhirnya boleh menjual saham tersebut untuk keuntungan atau menebus pinjaman bersama faedah.
Bulan lepas, syarikat Nota Amalan 17 (PN17) itu peroleh kelulusan pemiutang bagi cadangan skim penstrukturan semula hutang, yang melibatkan Sapura Energy dan 22 anak syarikat menangani RM10.8 bilion yang terhutang kepada sembilan pemberi pinjaman, dan bayaran tertunggak sebanyak RM1.5 bilion kepada pemiutang perdagangan. Pelan penstrukturan semula hutang itu mendapat kelulusan Mahkamah Tinggi pada Khamis lalu.
Pelaburan strategik
Suntikan RM1.1 bilion itu menjadi perbualan malah ada yang mendakwa ia ‘bailout’. Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil menyangkal dakwaan mengatakan langkah itu suatu ‘bailout’.
Beliau berkata wang disuntik ke dalam syarikat perkhidmatan minyak dan gas bersepadu terbesar negara itu suatu ‘pelaburan strategik’ yang dikenakan syarat khusus.
“Ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada ‘bailout’ seperti berlaku era Dr Mahathir Mohamad dahulu,” katanya.
Terdapat dakwaan mengatakan pentadbiran Mahathir terlibat dalam beberapa usaha ‘bailout’, terutama semasa dan selepas krisis kewangan Asia 1997.
Mengenai pendirian kerajaan sekarang berhubung ‘bailout’, Fahmi berkata kerajaan mengamalkan prinsip Madani iaitu ‘bukan duit percuma’.
Pendekatan yang kerajaan gunakan sekarang ke atas Sapura Energy adalah seperti langkah yang diambil beberapa negara lain untuk menyelamatkan syarikat yang bergelut tetapi strategik dari segi ekonomi.
Ia juga menunjukkan kerajaan sekarang mengambil pengajaran daripada usaha menyelamat pada masa lalu, dengan menekankan ketelusan dan kebertanggungjawaban bagi melindungi kepentingan awam.
RM1.1 bilion itu bersekali dengan jangkaan bahawa Sapura Energy harus menambah baik tadbir urus dan disusuli dengan suatu pelan pemulihan yang rapi. Kerajaan telah memberikan mesej yang jelas — laksana reformasi dan tunjukkan hasil pada masa depan.
Syarikat itu bersetuju untuk melakukan baik pulih dalaman yang menyeluruh dan sedang menjalankan proses usaha wajar yang tuntas sebagai sebahagian daripada pelan penyelarasannya, selaras Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia 2021.
Pelaburan dalam keselamatan tenaga
Imran berkata, talian hayat RM1.1 bilion daripada kerajaan itu boleh dilihat sebagai pelaburan strategik dalam keselamatan dan masa depan tenaga Malaysia dan bukannya pelaburan dalam Sapura Energy semata-mata.
“Talian hayat itu untuk bayar vendor tempatan. Ini bagi memastikan rantaian bekalan atau ekosistem O&G Malaysia tidak terjejas dan kekal utuh.
“Sektor minyak dan gas merupakan sektor penting bagi ekonomi. Oleh itu, adalah penting sektor ini terus dipupuk dan dibangunkan,” tambahnya.
Sapura Energy menyokong lebih 2,000 vendor Malaysia yang mana kira-kira 1,800 daripadanya adalah perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sepanjang lima tahun lepas, kumpulan itu menganugerahkan kontrak bernilai RM7.3 bilion kepada vendor Malaysia ini.
Pengganda ekonomi akibat perbelanjaan ini adalah penting kerana ia mengalir kepada subkontraktor, fabrikasi, limbungan kapal, pembekal peralatan dan penyedia perkhidmatan lain di serata negara.
Kumpulan itu juga berada di serata dunia. Ia beroperasi di kira-kira 20 negara dengan tenaga kerja kira-kira 13,000 orang, majoritinya rakyat Malaysia.
Sekiranya ia runtuh, kesannya terhadap ekosistem vendor ini akan menjadi teruk. Itulah sebabnya sesetengah pihak berpendapat bahawa syarikat itu ‘terlalu besar untuk dibiarkan gagal’.
Majlis Perkhidmatan Minyak, Gas dan Tenaga beri amaran bahawa kegagalan Sapura Energy akan mengancam mata pencarian ribuan pekerja mahir di atas dan ke bawah rantaian bekalan.
Penyokong langkah kerajaan untuk menyelamatkan Sapura Energy berkata ia bukan hanya mengenai satu syarikat, tetapi mengenai melindungi keseluruhan rangkaian perusahaan dan pekerjaan Malaysia daripada keruntuhan.
Mengenai sama ada sokongan kerajaan bermakna Sapura Energy akhirnya dapat menyelesaikan masalah hutang yang melumpuhkan, Imran berkata ia bergantung pada pasaran dan keadaan ekonomi.
“Ini diharap dapat memberikan Sapura Energy kekuatan untuk menghadapi cabaran dan memanfaatkan sebarang peluang,” katanya.