
“Sekarang ada platform berbeza untuk memastikan negeri ini mempunyai lebih banyak suara dalam menentukan bagaimana gas harus dibangunkan dan diagihkan, sama ada untuk industri, tenaga elektrik, atau eksport,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd Dionysia Kibat.
Dionysia berkata Strategi Gas Sabah 2024 yang menjadi pelan pembekalan dan penghantaran gas adalah hasil langsung daripada kerjasama strategik itu.
Pelan dibangunkan bersama Petronas dan kerajaan Sabah itu menyediakan pelan induk jangka panjang yang teratur untuk memastikan bekalan gas stabil bagi memenuhi peningkatan permintaan domestik, sambil membolehkan pertumbuhan industri yang mampan.
“Pelan itu insiatif pertama diwujudkan menerusi platform itu,” kata Dionysia dalam temu bual dengan FMT sambil menekankan pembangunan minyak dan gas mesti dibincangkan dengan teliti.
“Bila ia harus dibangunkan bergantung kepada sama ada wujud permintaan domestik yang kukuh.
“Jika tiada permintaan domestik jelas, pemain huluan tidak boleh meneruskan kerana gas memerlukan komitmen jangka panjang, biasanya kontrak selama 20 tahun. Bekalan luar pesisir juga mesti konsisten sepanjang tempoh itu supaya projek ini berdaya maju.”
Menurut Dionysia, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) juga terlibat secara aktif untuk memastikan pelaburan kelihatan menarik.
“Industri akan wujud jika ada tenaga elektrik, tiada guna ada industri namun bekalan elektrik tiada.
“Pokoknya mesti ada tenaga dahulu, baru boleh tarik industri,” katanya.
Dionysia berkata perancangan yang teliti kini lebih penting berikutan kenaikan kos petroleum.
“Kita tahu harga gas tidak akan menjadi lebih murah pada masa depan kerana kebanyakan rizab di perairan cetek telah diteroka atau dibangunkan.
“Kos pengeluaran tinggi, jadi penting untuk memastikan permintaan dan bekalan seimbang pada harga adil,” katanya.
Beliau menambah cabaran tetap wujud walaupun Sabah kaya dengan sumber semula jadi dan memerlukan ‘rundingan berterusan dan banyak kompromi’ dengan pelbagai pihak, termasuk pengawal selia dan pelabur.
Dionysia berkata CCA memberi perbezaan besar dari segi suara yang lebih besar, selain meningkatkan hasil dan penyertaan yang mungkin sukar dinikmati sebelum ini.
Jelasnya, kerjasama strategik itu bukan sahaja memberi manfaat dari segi pemerolehan aset (minyak dan gas), tetapi memberi kesan berganda seperti pertumbuhan perkhidmatan dan peralatan O&G, pekerjaan serta kesan rantaian.
“Dahulu, apabila berkaitan sumber gas, semuanya berjalan seperti biasa; hanya menunggu dan menerima. Tetapi dengan CCA, kita mempunyai platform.
“Bagus Petronas memberi kita platform. Kerjasama dan kolaborasi lebih penting daripada perkara lain dalam perniagaan,” katanya.
Menarik minat pelabur
Dionysia berkata pelabur global menilai penyelarasan dan kejelasan sebelum membuat keputusan pelaburan.
Beliau berkata kerjasama komersial kukuh dengan Petronas dan kestabilan politik telah menarik syarikat minyak asing seperti ConocoPhillips, PTTEP, dan INPEX datang ke Sabah untuk peluang perniagaan.
“Kredit harus diberikan kepada Petronas kerana berjaya menarik syarikat minyak antarabangsa terkemuka.
“Tetapi bagi pelabur untuk membuat komitmen, mereka juga perlu melihat kestabilan negeri,” katanya menambah pelabur mahu keuntungan baik dan persekitaran perniagaan yang selamat.
“(Syarikat-syarikat ini fikir) jika negeri anda tidak selamat, rakyat anda tidak mesra pelabur, mengapa saya perlu melabur? Saya ada kawasan lain untuk melabur.”
Beliau berkata SMJ Energy memainkan peranan penting dalam menarik perniagaan, meyakinkan pelabur mengenai sumber dan peluang yang tersedia, serta mengukuhkan ekosistem pelaburan keseluruhan.
Dionysia juga memuji Petronas kerana memudahkan pelaburan ke Sabah contohnya dengan menjalankan kajian seismik dan data mengenai kemungkinan lapangan minyak dan gas supaya pelabur boleh membuat keputusan yang bijak.
“Kami dimaklumkan beberapa pelabur lain telah menunjukkan minat (untuk datang ke Sabah).
“Saya tidak boleh mendedahkan (identiti mereka) sekarang, tetapi kami sedang bekerja bersama Petronas,” katanya.