Pertembungan Sarawak-Putrajaya tunjuk bahaya politikkan pertikaian undang-undang, kata dekan

Pertembungan Sarawak-Putrajaya tunjuk bahaya politikkan pertikaian undang-undang, kata dekan

Dekan undang-undang UM Jason Chuah berkata ketegangan pusat-negeri lumrah dalam sistem persekutuan, tetapi boleh timbul ketidakstabilan apabila identiti politik mengatasi penyelesaian undang-undang.

federal constitution books
Perlembagaan Persekutuan sudah menjangka ketegangan antara kerajaan pusat dan negeri, serta menyediakan kerangka kukuh untuk mengurus pertikaian, kata Jason Chuah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertikaian antara kerajaan pusat dan negeri boleh menjadi sihat dalam sistem persekutuan, tetapi bertukar bahaya apabila dipolitikkan atau dikaitkan dengan identiti, kata Dekan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya Jason Chuah.

Beliau berkata dalam keadaan sebegini, tolak ansur mudah dilihat sebagai pengkhianatan dan akhirnya menjejaskan keyakinan rakyat terhadap mahkamah serta institusi undang-undang.

Jason Chuah
Jason Chuah.

Menurut Chuah, dalam sistem persekutuan perbezaan pandangan antara Putrajaya dan negeri seperti Sarawak adalah perkara biasa, malah boleh membawa manfaat.

“Pertikaian ini membantu memperjelas peraturan tentang siapa yang berkuasa dalam hal tertentu,” katanya.

Namun, masalah timbul apabila kerangka undang-undang sedia ada tidak lagi dilihat adil atau sah, terutama apabila isu itu dikaitkan dengan politik identiti.

“Ketika itulah perbincangan sihat berubah menjadi sesuatu yang melemahkan kestabilan,” kata Chuah.

PDA dan undang-undang darurat

Chuah berkata pertikaian mengenai kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) berpunca susulan penggubalannya ketika darurat, namun menegaskan undang-undang diluluskan semasa itu
terbatal.

“Isu lebih halus ialah PDA mengubah sempadan laut wilayah negeri-negeri. Secara normal, ia memerlukan persetujuan negeri dan Majlis Raja-Raja. Sama ada peraturan darurat ketika itu membolehkan syarat itu diketepikan masih boleh diperdebatkan,” katanya.

Beliau memberi amaran, jika hujah itu mencukupi untuk membatalkan PDA, banyak lagi undang-undang lain yang masih berkuat kuasa juga boleh dipersoalkan.

Petronas lawan Petros

Menurut Chuah, baik Sarawak mahupun Putrajaya, kedua-duanya mempunyai hujah undang-undang untuk mempertahankan tuntutan masing-masing terhadap minyak dan gas.

Beliau menjelaskan, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO) – undang-undang negeri – tidak pernah dimansuhkan, dan ini memberi asas kepada Sarawak untuk berhujah bahawa ia berhak mengawal sumber minyak dan gas.

“Dalam keadaan itu, Petronas secara teknikal mungkin wajib mematuhi undang-undang persekutuan dan negeri, kecuali mahkamah memutuskan sebaliknya,” katanya.

Namun, dari sudut lain, penyertaan Sarawak dalam proses penggubalan PDA boleh dianggap sebagai penyerahan haknya.

Putrajaya boleh berhujah bahawa OMO telah terbatal secara tersirat atau tidak lagi terpakai. “Atau OMO sudah digantikan oleh PDA,” katanya.

 Isu Shell MDS

Chuah turut mengulas kes Shell MDS yang tersepit antara dua tuntutan – satu daripada Petronas, satu lagi daripada Petros.

“Shell tidak pasti siapa pihak sebenar yang berhak, jadi ia menahan bayaran sehingga mahkamah membuat keputusan,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada awalnya membenarkan Shell menangguhkan bayaran sementara menunggu kes selesai, tetapi Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan itu dan mengarahkan Shell membayar Petronas bagi gas yang dibekalkan.

Gambaran lebih luas

Chuah menjelaskan Malaysia bukan satu-satunya negara berdepan ketegangan hubungan pusat-negeri, dengan merujuk Amerika Syarikat, Jerman, Kanada malah Kesatuan Eropah yang menghadapi isu sama.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebenarnya sudah menjangka kewujudan ketegangan ini dan menyediakan ruang untuk ‘kepelbagaian undang-undang’ berbanding sekadar ‘penyeragaman atau penyatuan’.

“Sistem ini sudah mendahului zamannya, dan masih menawarkan kerangka kukuh untuk mengurus pertikaian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.