Syarikat Sabah kini kuasai 36% kontrak minyak dan gas

Syarikat Sabah kini kuasai 36% kontrak minyak dan gas

Pengerusi SMJ Energy Masidi Manjun berkata pencapaian itu hasil dasar pemerkasaan vendor tempatan melalui kerjasama negeri dan Petronas.

Hajiji Nor Sabah
CCA antara kerajaan negeri dan Petronas ditandatangani pada Disember 2021, di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor buka ruang kepada Sabah mendapat lebih banyak kuasa, penyertaan dan perkongsian hasil dalam industri O&G tempatan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pasaran kontrak syarikat tempatan dalam sektor minyak dan gas (O&G) Sabah mencatat peningkatan besar selepas pelaksanaan dasar pemerkasaan melalui perjanjian kerjasama komersial (CCA) antara kerajaan negeri serta Petronas.

Pengerusi SMJ Energy Sdn Bhd Masidi Manjun berkata syarikat milik kerajaan Sabah itu kini kini menguasai 36% kontrak dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE), meningkat lebih 26 mata % berbanding 2021.

Beliau berkata pada 2018 syarikat Sabah hanya memegang kira-kira 3% kontrak sebelum naik kepada 15.3% pada 2021 dan kini mencapai tahap tertinggi dalam sejarah.

“Pencapaian ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia hasil dasar jelas seperti penetapan had tender, kategori kerja terperingkat dan syarat kerjasama mandatori yang mengutamakan kontraktor Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Masidi Manjun
Masidi Manjun.

Masidi yang juga menteri kewangan negeri interim menjelaskan dasar itu melalui jawatankuasa bersama kerajaan negeri dan Petronas yang menumpukan pembangunan industri OGSE di Sabah.

CCA antara kerajaan Sabah dan Petronas yang ditandatangani pada Disember 2021, di bawah pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, membuka ruang kepada negeri itu mendapat lebih banyak kuasa, penyertaan dan perkongsian hasil dalam industri O&G tempatan.

Kerajaan negeri kemudiannya menubuhkan SMJ Energy bagi merealisasikan peluang diperoleh melalui perjanjian itu, termasuk pegangan ekuiti dalam aset O&G.

Data terbaharu menunjukkan jumlah kontrak dimenangi vendor Sabah meningkat 263%, daripada 133 kontrak pada 2021 kepada 483 kontrak pada September tahun ini.

Selain itu, jumlah syarikat Sabah yang memegang kontrak jangka panjang meningkat 260%, sekali gus memberi kestabilan untuk pelaburan tenaga kerja dan aset.

Dari segi nilai pula, jumlah keseluruhan kontrak terus kepada syarikat tempatan mencecah RM1.7 bilion setakat September, jauh lebih tinggi berbanding sebelum pelaksanaan dasar pemerkasaan itu.

“Ini bermakna lebih banyak pendapatan kekal dalam Sabah yang memberi peluang kepada usahawan tempatan.

“Paling penting, pekerjaan berkualiti untuk anak muda kita,” kata Masidi.

Dalam aspek pembangunan keupayaan teknikal, SMJ Energy menyatakan bilangan syarikat tempatan yang berjaya menaik taraf keupayaan untuk mendapat kontrak bernilai tinggi meningkat daripada 10 syarikat pada 2022 kepada 88 syarikat pada awal tahun ini.

Kerja-kerja kompleks seperti penyambungan dan pentauliahan (HUC), penyelenggaraan luar pesisir dan pengubahsuaian kini kebanyakan dilaksanakan syarikat Sabah melalui kerjasama strategik dengan pemain global.

Melihat kepada momentum semasa, Sabah menetapkan sasaran baharu untuk syarikat tempatan menguasai 60% bahagian pasaran kontrak menjelang akhir 2026.

Usaha itu disokong melalui penubuhan pasukan tugas khas di bawah Majlis Kandungan Tempatan Sabah untuk merancang pembangunan modal insan secara menyeluruh.

“Kita perlu memastikan bakat tempatan mampu menyokong pertumbuhan pesat industri ini.

“Dari juruteknik hingga jurutera dan akauntan, peluang untuk anak muda Sabah adalah besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Dionysia Kibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.